Sijil Vaksinasi Pintar diperkenalkan - Utusan Malaysia

Sijil Vaksinasi Pintar diperkenalkan

ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sijil Vaksinasi Pintar atau ‘Smart Vaccination Certificate’  akan diperkenalkan Kementerian Kesihatan sebagai pengenalan khas untuk mereka yang sudah disuntik vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, sijil berkenaan akan dimaklumkan kepada umum dalam tempoh sebulan lagi.

“Saya sudah adakan persidangan secara maya dengan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kita akan maklumkan berhubung ‘Smart Vaccination Certificate’ dalam masa sebulan lagi untuk kita nyatakan mengenai pasport vaksin ini,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di sini hari ini.

Sebelum ini, Adham memberitahu mana-mana individu yang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 akan diberikan dokumen secara fizikal iaitu pasport vaksin atau dipamerkan melalui aplikasi MySejahtera.

Katanya, perkara itu sedang diperhalusi kerajaan di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) termasuk menilai kerjasama yang boleh dilaksanakan bersama negara-negara lain bagi pembangunan pasport vaksin Covid-19. 

Dalam pada itu, berhubung permintaan hospital swasta untuk mendapatkan bekalan vaksin sendiri, beliau berkata, buat masa ini, perolehan hanya dibuat kerajaan yang diagihkan secara percuma kepada rakyat.

Beliau menjelaskan, peranan hospital swasta akan dilibatkan pada fasa kedua Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan iaitu membantu kerajaan menyediakan fasiliti dan petugas untuk vaksinasi.

“Kita di peringkat pelaksanaan program vaksinasi dan sudah menetapkan vaksin diberi percuma oleh kerajaan. Jadi, itu hanya perolehan dibuat kerajaan.

“Hospital swasta yang ingin membuat vaksinasi atau menerima vaksinasi kita ada saluran iaitu kita gunakan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan beberapa persatuan lain untuk kita libat uruskan mereka,” katanya.

Beliau turut memberitahu, tidak semua warga Kementerian Kesihatan diberikan vaksin dalam fasa pertama.

Katanya, hanya 127,000 daripada 270,000 petugas kesihatan menerima vaksin pada fasa pertama yang bermula 24 Februari lalu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya