20 keluarga sengsara dua minggu 'bernafas' dalam asap

Sengsara dua minggu ‘bernafas’ dalam asap

ASAP tebal dari tapak pelupusan sampah seluas lapan hektar di Kok Bedulllah yang terbakar sejak dua minggu lalu mengganggu kehidupan penduduk. - FOTO/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Kehidupan ribuan penduduk di sekitar Kok Bedullah, di sini sengsara apabila terpaksa menghidu asap tebal berpunca dari tapak pelupusan sampah seluas kira-kira lapan hektar yang terbakar sejak dua minggu lalu.

Malah, 90 penduduk daripada 20 keluarga yang tinggal dalam radius 200 meter dari tapak pelupusan sampah milik Majlis Daerah Tumpat (MDT) tersebut terpaksa mengosongkan rumah masing-masing dan ditempatkan di Resort Pantai Sri Tujuh, di sini 

Difahamkan, setakat pukul 5 petang ini, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat. Malaysia (JBPM) yang dibantu pelbagai agensi dan pasukan keselamatan lain masih bertungkus-lumus memadamkan kebakaran tersebut.

Agensi terlibat ialah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Amal Malaysia serta pihak MDT sendiri.

Yang Dipertua MDT, Rusydee Abdullah berkata, sejak kejadian bermula 19 Februari lalu, operasi memadamkan kebakaran menampakkan hasil apabila api semakin berkurangan dan hanya tertumpu di titik-titik yang berselerak sahaja.

“Namun masalah lain pula berlaku iaitu kewujudan asap tebal yang mengganggu kehidupan harian masyarakat sekitar. 

“MDT menerima banyak aduan daripada penduduk di samping peringatan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang sentiasa memantau perkembangan usaha pemadaman api yang kita dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Rusydee, asap tebal itu sukar dibanteras kerana bahan yang terbakar sebahagian besarnya adalah sisa plastik yang telah mendap jauh ke dalam tanah di samping cuaca panas serta kemarau yang sedang melanda negeri ini.

“Justeru itu, MDT telah menggerakkan operasi bersepadu melibatkan lebih ramai anggota termasuk dari Rela, APM serta Jabatan Amal Malaysia. 

“Peringkat pertama hari ini melibatkan 70 sukarelawan yang bertugas bergilir-gilir sehinggalah kebakaran dapat dipadamkan,” katanya sambil memberitahu, MDT turut mengadakan solat hajat hari ini memohon pertolongan Allah SWT.

Sementara itu, BBP Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisansahseni Raja Semail ketika dihubungi berkata, operasi pemadaman bermula pukul 9 pagi hingga 3 petang setiap hari dan dibahagi kepada lima zon.

“Setakat ini kita masih menyiasat punca sebenar kebakaran dan tidak menolak kemungkinan faktor kecuaian manusia dan  cuaca panas ketika musim kemarau sekarang,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan NGO negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat berkata, 20 keluarga yang tinggal berhampiran lokasi kejadian dipindahkan ke Resort Pantai Sri Tujuh sejak 23 Februari lalu.

“Penyediaan tempat itu diuruskan pihak MDT manakala urusan makan minum mereka dikendalikan oleh ADUN Kelaboran, Mohd. Adanan Hassan.  

“Usaha kami menjaga kebajikan penduduk terjejas turut dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi sumbangan berbentuk barangan makanan dan keperluan harian,” katanya.

Beliau berkata, urusan persekolahan anak-anak penduduk terbabit tidak terganggu kerana pusat pemindahan sementara tersebut terletak tidak terlalu jauh dari sekolah mereka.

“Semua keluarga itu berkemungkinan besar dibenarkan pulang ke rumah dalam tempoh beberapa hari lagi. Lagipun hujan turun hari ini, sekali gus membantu usaha kita memadamkan kebakaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya