KUALA LUMPUR: Menyediakan perumahan mampu milik untuk golongan miskin bandar dan kumpulan berpendapatan rendah (B40) menjadi cabaran kerajaan masa kini khususnya di kawasan pesat membangun seperti Kuala Lumpur kerana disebabkan nilai hartanah semakin tinggi.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain itu cabaran kerajaan juga ialah untuk menjaga kebajikan golongan miskin bandar terutamanya warga Kuala Lumpur di kawasan perumahan kos rendah awam dan swasta serta penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR).
“Misalnya Perumahan Awam Sri Labuan yang berusia hampir 40 tahun telah usang, tiada kemudahan lif dan tiada kemudahan tempat letak kereta yang teratur. Ini akan menyebabkan keadaan menjadi sesak, tidak kondusif untuk didiami serta memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi.
“Dalam menyahut cabaran-cabaran yang saya sebutkan ini, baru-baru ini kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan telah melancarkan Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kuala Lumpur.
“Panduan ini bertujuan untuk membangunkan semula kawasan usang dan tidak ekonomik seperti Perumahan Awam Sri Labuan dan disasarkan supaya menjadi kawasan yang berwajah baharu, vibrant dan mampu berdaya saing. Ini sekaligus dapat memperbaiki visual dan meningkatkan nilai hartanah kawasan-kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Kunci Rumah kepada Penerima Unit Baru Projek Residensi RazakMas2 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu, pelaksanaan projek pembinaan kediaman merupakan merupakan sebahagian daripada kesemua inisiatif diperkenalkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi membantu rakyat bukan sahaja golongan miskin bandar, B40 tetapi juga golongan M40 yang berpendapatan sederhana.
Katanya, sebenarnya terdapat banyak lagi bantuan diberikan kerajaan kepada pelbagai lapisan masyarakat sejak setahun lalu.
“Pada 2020 sahaja di bawah pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM40 juta untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan rumah kos rendah dan sederhana rendah seperti kerja-kerja membaiki bumbung, tangga, mengecat bangunan serta kerja-kerja pembaikan utiliti yang melibatkan 63 projek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan 13 projek di Labuan. Ini semuanya dilaksanakan untuk memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat terpelihara,” katanya.
Berkenaan majlis itu, Perdana Menteri berkata, Projek Residensi RazakMas2 menyediakan rumah berkeluasan 805 kaki persegi dengan dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air serta pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta berbumbung, dewan serbaguna dan taman permainan dengan nilai pasaran semasa sekitar RM300,000.
Katanya, projek itu telah dapat direalisasikan setelah tertangguh sejak 10 tahun lalu dengan usaha tungkus-lumus Kementerian Wilayah Persekutuan untuk memastikan segala permasalahan dapat ditangani sehingga akhirnya kunci rumah dapat diserahkan pada hari ini.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada 395 pemilik rumah yang akan menerima kunci rumah Residensi Razakmas2 secara percuma serta kepada 245 penyewa yang ditawarkan pemilikan rumah dengan harga subsidi RM198,000.
“Saya ingin berkongsi kegembiraan apabila melihat Residensi Razakmas2 yang bakal didiami ini bukan sahaja luas, selesa dan moden serta dilengkapi pelbagai kemudahan berbanding rumah lama saudara saudari dahulu.
“Ini jauh berbeza apabila dahulu penduduk Perumahan Awam Sri Labuan terpaksa menduduki rumah berkeluasan 400 hingga 528 kaki persegi dan dilengkapi hanya satu atau dua bilik sahaja,” katanya.
Beliau berkata, malah inisiatif pembaharuan yang dilaksanakan pihak kementerian telah memberikan banyak manfaat apabila harga kediaman meningkat 10 kali ganda berbanding berbanding nilai rumah terdahulu iaitu sekitar antara RM21,000 hingga RM28,000. – UTUSAN ONLINE