ALOR GAJAH: Tiada ruang untuk kembali buat ‘penderhaka’ yang meninggalkan UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Itu penegasan yang dibuat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berhubung keputusan pucuk pimpinan tertinggi untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, buat masa ini pihaknya akan terus mendukung Perikatan Nasional (PN) dalam mentadbir negeri ini, manakala semua Pengerusi Jawatankuasa diminta terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat sehingga Dewan Rakyat dibubarkan kelak.
Menurutnya, setakat ini, belum ada sebarang keputusan dibuat sama ada akan bertanding di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini dimiliki Bersatu.
“Mereka yang menderhaka kepada UMNO, saya tidak izinkan kembali semula.
“Setakat ini, semua parti politik sudah bersedia untuk menghadapi PRU-15 yang tidak tahu bila tarikh sebenarnya, sama ada hujung tahun ini atau tahun depan. UMNO Melaka pula secara keseluruhannya sudah bersiap sedia sepenuhnya.
“Berdasarkan maklumat daripada ketua-ketua bahagian, saya amat berpuas hati mengenai persiapan semua bahagian di semua peringkat,” katanya.
Beliau berkata demikian sebelum mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal di sini.
Yang turut hadir Timbalannya, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Setiausaha, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Ditanya mengenai calon-calon daripada UMNO, Rauf berkata, setakat ini pihaknya belum lagi membincangkan berkenaan senarai calon.
Beliau menambah senarai itu hanya akan diketahui apabila Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU-15 diadakan
“Walaupun setiap bahagian sudah menghantar senarai tiga calon bagi kerusi Parlimen dan DUN sejak tahun lalu, namun kita belum buat sebarang keputusan mengenainya,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE