GEORGETOWN: Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd. Manan mengakui kecewa dengan sikap anggotanya yang sanggup bersengkongkol melepaskan suspek Macau Scam bulan lepas.
Sahabudin berkata, empat pegawai polis iaitu masing-masing dua berpangkat Inspektor ditahan 12 Februari lalu dan dua Asisten Superintenden yang ditahan 15 Februari lalu masih bertugas namun berada di bawah pemantauan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri.
“Saya juga telah mencadangkan kepada pihak atasan agar semua mereka (yang disyaki terlibat melepaskan suspek Macau Scam) ditukarkan ke bahagian lain yang tidak mempunyai kaitan dengan operasi serta siasatan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan terdapat pegawainya bersengkongkol melepaskan suspek sindiket Macau Scam di negeri ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kesalahan tersebut dikesan selepas siasatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
Menurut Sahabudin, pihak polis turut menahan tiga orang awam dan seorang kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
“Kesemua mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis dan saya beri jaminan kes ini akan disiasat secara adil dan telus,” katanya.
Tambah beliau, siasatan kes itu yang dijalankan oleh pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) Pulau Pinang juga telah hampir siap.
“Kami ketika ini sedang tunggu beberapa laporan lagi berhubung kes tersebut sebelum menghantar kertas siasatan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.
“Siasatan kes ini dijalankan menurut Seksyen 217 Kanun Keseksaan,” katanya.