KUALA LUMPUR: Usahawan popular, Datuk Aliff Syukri menasihatkan Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih popular dipanggil Nur Sajat, 36, untuk menghormati undang-undang dan agama Islam.
Sebagai sahabat, Aliff berkata, beliau meminta Nur Sajat tidak mempermainkan isu murtad sebaliknya menjadi seorang manusia yang sentiasa mahu berubah ke arah kebaikan.
“Kita sebagai seorang manusia, perlu menghormati undang-undang. Tak salah jika kita mengaku salah. Itu tidak bererti kita kalah. Kita rakyat Malaysia, ada undang-undang yang perlu kita patuhi.
“Sebagai sahabat, saya tak mahu Nur Sajat keluar daripada Islam atau murtad. Jangan tertekan dengan segelintir warganet. Menyerahlah. Ikut garis panduan dan undang-undang,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.
Semalam kecoh di media sosial apabila satu video berdurasi 1 minit 45 saat yang tular menunjukkan Nur Sajat mengumumkan dia tidak mahu lagi menganut agama Islam selain mengakui tertekan dengan situasi yang sedang dilaluinya.
Bagaimanapun, klip video tersebut tidak dapat disahkan kesahihannya .
Pada 6 Januari lalu, Nur Sajat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini atas tuduhan sebagai seorang lelaki berpakaian menyerupai wanita pada 2018 lalu.
Pada 23 Februari lalu, Nur Sajat tidak hadir ke mahkamah bagi prosiding pertuduhan terhadapnya menyebabkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengeluarkan waran tangkap ke atasnya.
Dalam pada itu, Aliff berkata, dia sudah lama tidak bertukar khabar dengan Nur Sajat dan mendoakan agar sahabatnya itu sentiasa cekal serta tabah menghadapi ujian Tuhan.
“Saya tidak mahu terlibat dalam urusan dia dan sebenarnya kami sudah lama tidak berhubung. Saya doakan yang terbaik untuk dia,” katanya.