KUANTAN: Yayasan Pahang (YP) memperuntukkan sejumlah RM52 juta kepada 61,721 pelajar anak Pahang tahun ini bertujuan membantu pendidikan mereka ke arah lebih cemerlang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM18.8 juta diperuntukan untuk Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) membabitkan 31,751 penerima dan RM6.3 juta untuk Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) membabitkan 21,002 penerima dan bakinya RM3.6 juta untuk Program Peningkatan Kualiti Pendidikan.
Di peringkat pengajian tinggi pula, beliau berkata, YP memperuntukkan RM17.2 juta untuk pinjaman membabitkan 2,633 penerima, RM3.1 juta (biasiswa) bagi 335 penerima dan RM3 juta (Geran Awal Bantuan ke IPT) membabitkan 6,000 penerima.
“Setiap tahun, YP adalah penyumbang utama kepada bantuan pendidikan di negeri ini berbanding biasiswa tajaan pihak lain.
“Keistimewaan biasiswa ini pula ialah, permohonan hanya dibuat sekali dan berterusan sehingga tamat persekolahan dalam satu-satu peringkat pengajian,” katanya dalam majlis Penyampaian Sumbangan Pendidikan YP untuk Anak-Anak Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif YP, Datuk Mahmud Mohd. Nawawi.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri melalui YP sangat komited dalam memastikan anak-anak Pahang mendapat akses kepada pendidikan dalam pelbagai peringkat pengajian.
“Bermula dengan peruntukan hanya RM1.5 juta pada tahun 1983, kini YP berjaya mendapatkan sumber pendapatannya sendiri untuk diagihkan kepada anak-anak Pahang,” katanya.
Sehingga kini, YP membelanjakan kira-kira RM 1.34 bilion yang memberi manfaat kepada 1.7 juta anak-anak negeri dalam pelbagai peringkat pendidikan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, YP membantu pelajar meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah-sekolah melalui pelbagai program akademik seperti Program Jawab Untuk Jaya (JUJ), Program intervensi Semua Subjek A (PiSSA), Program Perancangan Harus Lulus (Perhalus ) dan Program Anak Yatim Permata Hati (Perhati).
Selain itu, katanya, program berimpak tinggi seperti Program Baca Cepat Kawanku (BCK) dilaksanakan bagi membantu murid yang tidak boleh membaca pada awal Tahun 1 serta Program Peningkatan Pendidikan Khas bagi membantu Murid Berkeperluan Khas (MBK). – UTUSAN ONLINE