RM200 juta naik taraf benteng pantai barat - Utusan Malaysia

RM200 juta naik taraf benteng pantai barat

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan RM200 juta bagi melaksanakan projek menaik taraf benteng bagi pantai rarat Semenanjung. 

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peruntukkan itu bagi mengatasi isu limpahan air laut ketika fenomena air pasang besar.

Katanya, kerja-kerja ukur akan dilaksanakan pada tahun ini sebelum tender akan dikeluarkan selewat-lewatnya awal tahun depan.

“Peruntukan untuk negeri Johor pula adalah RM45 juta untuk pembaikan di kawasan pantai sepanjang daerah Batu Pahat dan Pontian.

“Kerja-kerja fizikal projek ini akan mengambil masa selama 18 bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2023,” katanya ketika merasmikan Majlis Undi Perdana Kerja-Kerja di bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi Negeri Johor tahun 2021 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, KASA merancang menyediakan peruntukan hampir RM50 juta untuk program pemuliharaan sungai bagi mengurangkan risiko banjir di seluruh negara.

Beliau berkata, KASA akan mengadakan tawaran kerja undi berkenaan pada Mac dan April ini di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak melalui dua fasa.

“Fasa pertama melibatkan negeri Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Melaka, Kedah dan Perlis manakala fasa kedua pula melibatkan Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Labuan, Sabah dan Sarawak.

“Kita memahami Johor antara negeri yang teruk dilanda banjir pada awal tahun ini seperti yang berlaku di Kota Tinggi. Lantaran itu, Johor diberi keutamaan untuk menerima peruntukan pemulihan agar sistem saliran sungai berfungsi lebih sempurna dan mampu menampung aliran air jika berlaku hujan lebat di luar kebiasaan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, ujar Tuan Ibrahim, pasukan pegawai dilengkapi kemudahan dron telah dihantar bagi menyiasat dakwaan Sungai Kim-Kim di Pasir Gudang dicemari lagi dengan bahan kimia berbahaya.

Kata beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan pencemaran dan bakal mengambil tindakan tegas jika tragedi Sungai Kim-Kim berulang.

“Kita telah gerakkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kekuatan 11 orang tenaga pegawai yang telah turun ke Sungai Kim-Kim untuk mengenalpasti punca pencemaran, kita dapat aduan air yang hitam keluar ke sungai itu yang kebetulan semalam genap dua tahun tragedi pada 2019.

“Kita akan ambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang melepaskan efluennya ke dalam sungai yang boleh mengakibatkan pencemaran dan kita harapkan pencemaran ini tidak akan jadi satu bencana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya