PETALING JAYA: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) memainkan peranan penting dalam pengurusan makroekonomi negara sekali gus membantu negara menghadapi aliran keluar modal yang besar dan tidak menentu.
Dalam Laporan Tahunan 2020, bank pusat itu berkata, rizab mencukupi itu seterusnya memelihara kestabilan makroekonomi dan kewangan serta mengekalkan keadaan pasaran kewangan yang teratur dan keyakinan orang ramai.
BNM berkata rizab antarabangsanya menepati nilai ambang kecukupan rizab tetapi tidak melebihi menanda aras ini dengan ketara.
“Oleh itu, rizab antarabangsa adalah mencukupi dan tidak berlebihan,” katanya seperti dipetik Bernama.
BNM berkata pengurusan rizab antarabangsa olehnya tertakluk pada rangka kerja tadbir urus dan pengurusan risiko ketat yang dihasilkan berdasarkan Akta Bank Negara Malaysia 2009 (CBA 2009).
Di bawah CBA 2009, BNM diamanahkan untuk memegang dan mengurus rizab antarabangsa bagi tujuan memastikan kestabilan kewangan dan monetari, serta mengekalkan keyakinan masyarakat.
“Memandangkan integrasi yang mendalam bagi perdagangan dan kewangan Malaysia dengan ekonomi global, pemegangan rizab antarabangsa sangat penting sebagai alat yang dapat digunakan untuk melindungi ekonomi dalam negeri terhadap kebalikan aliran modal secara tiba-tiba.
“Dalam hal ini, rizab antarabangsa yang dipegang oleh BNM terutamanya adalah untuk tujuan memastikan keadaan pasaran pertukaran asing yang teratur, terutamanya semasa ekonomi atau kewangan negara menghadapi tekanan,” katanya.
Sebagai ekonomi yang sangat terbuka, BNM berkata Malaysia terdedah kepada aliran modal dua hala yang mendadak dengan nilai yang cukup besar.
Sebagai contoh, semasa Krisis Kewangan Global 2008-2009 dan kejutan harga minyak tahun 2014-2015, aliran keluar portfolio masing-masing berjumlah AS$26 bilion (suku ketiga 2008 – suku pertama 2009) dan AS$13.7 bilion (suku ketiga 2014 – suku ketiga 2015).
Justeru, BNM berkata, ia sudah menggunakan rizab antarabangsa untuk mengimbangi aliran keluar mudah tunai mata wang asing yang ketara dan memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi dengan teratur.
Tindakan ini berjaya mengurangkan turun naik kadar pertukaran ringgit yang yang berlebihan yang pasti menjejaskan ekonomi Malaysia.
“Perkara ini juga menegaskan bahawa rizab antarabangsa BNM diperlukan untuk tujuan yang ditetapkan dan tidak boleh digunakan untuk tujuan lain, termasuk membiayai defisit fiskal kerajaan atau melunaskan hutang kerajaan.
“Pembiayaan perbelanjaan fiskal menggunakan rizab antarabangsa dipandang negatif oleh pelabur dan penganalisis pasaran kewangan kerana ia memberikan isyarat bahawa rizab antarabangsa mungkin menyusut lagi,” kata BNM. – UTUSAN ONLINE