KULAI: Seorang remaja ditahan manakala seorang lagi suspek dikenali sebagai ‘Satish’ diburu polis kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun membabitkan sebuah premis perniagaan di Taman Kulai Permai, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, remaja lelaki berusia 16 tahun itu ditahan selepas polis menjalankan serbuan di Flat Temenggong, Indahpura, di sini petang semalam.
“Siasatan berhubung kejadian itu dibuat selepas polis menerima aduan daripada seorang lelaki bahawa premis perniagaan miliknya dipecah masuk.
“Kerugian yang dialami melibatkan wang tunai dan beberapa barangan berharga yang dianggarkan bernilai RM7,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beng Yeow berkata, hasil siasatan dibuat, suspek mengaku terlibat dalam kejadian samun berkenaan bersama seorang lagi individu yang masih bebas.
“Ujian saringan air kencing dijalankan mendapati suspek positif dadah manakala siasatan turut mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.
“Suspek kini ditahan reman tujuh hari sehingga 7 Mac bagi membantu siasatan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE