Rayuan Serina untuk diberi lebih masa ditolak - Utusan Malaysia

Rayuan Serina untuk diberi lebih masa ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Rayuan Syariah di sini hari ini menolak permohonan pelakon, Serina Redzuawan untuk mendapatkan lanjutan tempoh masa memfailkan rayuan balas terhadap hak jagaan anak lelakinya, Tristan Tareef yang diberikan kepada bekas suaminya, Gavin Edward O’luanaigh.

Penghakiman itu dibuat Hakim, Datuk Mohd. Shukur Sabudin, Datuk Mohd. Radzi Abd. Latif dan Datuk Jasri @ Nasip Mat Jakir.

Peguam mewakili Gavin atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, dalam prosiding tersebut, mahkamah memutuskan kelewatan 19 hari untuk memfailkan permohonan tersebut.

Menurutnya, permohonan itu juga tidak mempunyai alasan munasabah dan tidak dijelaskan di dalam afidavit Serina. 

“Oleh demikian, Serina gagal memberikan alasan yang munasabah dan melengah prosiding mahkamah. Serina tidak boleh membangkitkan rayuan terhadap hak jagaan anak yang diberikan kepada Gavin. 

“Rayuan Gavin terhadap perintah hak jagaan anak perempuannya, Isabella Saffiya O’luanaigh yang diberikan kepada Serina telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 27 Mei ini. 

“Mahkamah Rayuan hanya akan mendengar rayuan Gavin iaitu perintah yang memberikan hak jagaan kepada Serina iaitu Isabella,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selain Zainul Rijal, Gavin turut diwakili peguam Muhammad Shafiq Ibrahim manakala Datuk Sri Amli Embong mewakili Serina.

Pada Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini memberikan hak penjagaan Isabella kepada Serina yang merupakan anak kepada selebriti terkenal Chef Wan manakala bekas suaminya pula diberi hak menjaga anak sulung mereka.

Keputusan tersebut dibuat Mahkamah Tinggi Syariah selepas Serina membuat permohonan mengubah perintah hadanah (hak penjagaan anak) kekal tersebut tiga tahun lalu.

Pada 26 Februari 2018, Serina memfailkan permohonan mengubah perintah hadanah kekal atas alasan antaranya Gavin, warga Britain itu didakwa tidak mengamalkan cara hidup Islam dan bimbang anak-anaknya akan murtad.

Pada masa sama, Serina khuatir anak-anaknya akan dibawa keluar dari Malaysia kerana keluarga bekas suaminya berada di London.

Namun, pada Julai 2018, mahkamah sama menolak permohonan Serina untuk mendapatkan hak jagaan sementara bagi kedua-dua anaknya kerana telah ada hak penjagaan kekal dipersetujui bersama sebelum ini serta menegah Serina dan Gavin membawa anak-anak mereka ke luar negara.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya