SHAH ALAM: Gara-gara cuba memberi rasuah kepada polis berpangkat sarjan mejar untuk melepaskan rakannya daripada dikenakan tindakan undang-undang, seorang buruh warga Bangladesh didenda RM12,000 dan penjara sehari oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Rozilah Salleh turut memerintahkan tertuduh, Md. Nur Islam, 33, dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda tersebut selepas pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa Bangladesh.
Rozilah dalam penghakimannya berkata, kesalahan dilakukan tertuduh serius apatah lagi apabila polis telah memberikan amaran kepadanya bahawa tindakannya itu menyalahi undang-undang, tetapi tetap cuba memberikan rasuah.
“Selaku warga asing yang menetap di Malaysia, sepatutnya kamu patut mematuhi undang-undang dan kesalahan rasuah adalah jenayah berat di mana-mana negara sekalipun.
“Selagi ada di Malaysia, kamu jangan terlibat dengan apa-apa jenayah, patuhi undang-undang. Jangan sesekali mengulangi kesalahan yang kamu lakukan,” katanya.
Terdahulu, bapa kepada seorang anak itu didakwa satu pertuduhan pilihan memberikan wang tunai RM5,000 kepada anggota polis berpangkat sarjan mejar yang bertugas di Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.
Tertuduh didakwa memberikan sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang kepada dua rakannya yang ditahan atas kesalahan memilik rokok seludup di bawah Seksyen 135 (1)(d) (i) Akta Kastam 1967.
Tertuduh yang menetap di negara ini sejak 14 tahun lalu didakwa melakukan perbuatan itu di IPD Hulu Selangor, Kuala Kubu Baru kira-kira pukul 9.20 malam pada 13 Mac tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh 15 bulan daripada tempoh penjara maksimum lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab. Wahab memohon hukuman setimpal dikenakan kerana tertuduh melanggar undang-undang negara yang seharusnya sebagai warga asing perlu mematuhinya.
Peguam mewakili tertuduh, Rejinder Singh memohon hukuman ringan dikenakan kerana kesalahan dilakukan anak guamnya merupakan yang pertama dan tidak pernah dengan terlibat mana-mana jenayah.
Mahkamah turut memerintahkan barang kes iaitu wang bernilai RM5,000 diserahkan kepada SPRM untuk dilupuskan hak. – UTUSAN ONLINE