Rasuah: Bekas kerani firma guaman dijel setahun - Utusan Malaysia

Rasuah: Bekas kerani firma guaman dijel setahun

ZULKARMA Zon dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan kerana melakukan pecah amanah wang pelanggan di firma guaman tempatnya bekerja ketika di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Bekas kerani firma guaman dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan pecah amanah wang pelanggan majikannya berjumlah RM20,864, dua tahun lalu. 

Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Zulkarma Zon, 37, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah selepas pertuduhan pindaan dibacakan. 

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap ibu kepada empat anak yang kini hamil tiga bulan  berkuat kuasa dari tarikh sabitan hari ini. 

Nooriah dalam penghakimannya berkata, walaupun tertuduh hamil dan mempunyai anak-anak lain, namun dia tetap perlu berdepan dengan peruntukan undang-undang. 

“Pengakuan salah kamu banyak menjimatkan masa dan menunjukkan keinsafan, bagaimanapun mahkamah juga mengambil perhatian kesalahan yang dilakukan itu kerana kamu berada dalam kedudukan orang yang diberi penuh kepercayaan. 

“Kamu menunjukkan ciri-ciri pekerja komited tetapi kamu menyalahgunakan kedudukan hingga menyebabkan kerugian kepada majikan,” katanya. 

Terdahulu, Zulkarma dilihat berzikir di kandang tertuduh sepanjang kira-kira 30 minit  prosiding berlangsung. 

Mengikut pertuduhan, dia yang diamanahkan untuk mengendalikan dokumentasi jual beli hartanah pelanggan di firma guaman didakwa melakukan pecah amanah  dengan mengutip wang pelanggan tanpa pengetahuan dan kebenaran majikannya berjumlah RM20,864. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di firma guaman Tetuan Fariz Halim & Co di Taman Teratai off Jalan Sultan Omar di sini, dari Julai hingga Ogos 2019

 

Zulkarma didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 14 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam bela, Che Amir Che Musa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya