Rakyat fokus utama Sultan Ibrahim - Utusan Malaysia

Rakyat fokus utama Sultan Ibrahim

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut prihatin terhadap kebersihan kawasan di seluruh Johor. Gambar menunjukkan baginda meninjau sendiri tahap kebersihan Bandar Diraja Muar yang dilakukan baginda pada awal pagi dengan menaiki skuter di sekitar bandar berkenaan. – Gambar The Royal Johor Press Office
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan kebajikan dan ekonomi rakyat terutama ketika Covid-19 sekarang ini.

Malah, Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, dalam setiap pertemuan bersama baginda, perkara itu se­ring diingatkan terutama selepas beliau mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar setahun lalu.

Menurut Hasni, kestabilan politik di peringkat negeri juga antara keutamaan dititahkan Sultan Johor yang disifatkan baginda sebagai kunci kejayaan kepada perkara-perkara yang mahu dilaksanakan.

HASNI MOHAMMAD

“Negeri dan rakyat adalah keutamaan. Itulah pesanan Sultan Ibrahim kepada saya dan apabila kita berdepan keadaan ekonomi dan sempadan Johor dan Singapura masih tutup sehingga pelaburan menguncup, baginda titahkan Johor membuat persediaan.

“Pastikan kita sudah buat perancangan untuk menarik pelaburan sebaik sahaja ekonomi atau keadaan kembali pulih,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambah Hasni, tempoh negara dan negeri ini khususnya diselubungi wabak Covid-19 menyerlahkan keprihatinan Sultan Johor terhadap rakyat jelata apabila baginda sering mengurniakan pelbagai bantuan termasuk kepada barisan hadapan.

Malah, jelas beliau, perhatian Sultan Ibrahim terhadap perkara berkaitan juga dapat dilihat menerusi bantuan wang tunai kepada pemandu teksi yang terjejas akibat pandemik, bantuan bakul makanan kepada orang ramai serta pelbagai lagi bentuk sumbangan yang disalurkan.

“Waktu pandemik ini saya lihat baginda tunjuk lebih keprihatinan kepada rakyat, malah hospital atau klinik turut dibekalkan dengan peralatan perlindungan diri (PPE), mesin ventilator dan peralatan lain.

“Ramai yang menerima secara langsung bantuan daripada baginda, malah inilah masanya Sultan Ibrahim menunjukkan keprihatinan kepada rakyat Johor secara ­seluruhnya,” katanya.

Menyentuh hubungan kerajaan negeri dengan Sultan Ibrahim, Hasni berkata, ia sentiasa berada dalam keadaan baik dan berkesan dengan meletakkan Johor dan rakyat sebagai keutamaan dalam apa jua keadaan.

“Saya tidak merasakan ada beza antara Menteri Besar yang lepas dengan saya, hubungan dengan istana adalah untuk kepentingan negeri, di mana baginda bukan hanya ambil berat soal kebajikan rakyat tetapi juga pentadbiran negeri.

“Melalui Kembara Mahkota Johor (KMJ), lawatan baginda ke daerah-daerah yang semua­nya bertujuan untuk mendengar dan memahami keadaan rakyat di bawah. Maka pentadbiran negeri sentiasa sahaja dipastikan berfungsi dengan berkesan untuk menjaga kepentingan rakyat di bawah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya