ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat menerima kunjungan sembah menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di Balai Menghadap Biru, Istana Arau, di sini hari ini.
Berangkat sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta diiringi anakanda-anakanda baginda berdua iaitu Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah, Puteri Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra.
Dalam pertemuan tersebut, Muhyiddin mempersembah maklum pelbagai perkara berkaitan pembangunan, ekonomi serta perkembangan terkini negara terutama berkaitan penularan pandemik Covid- 19 selain mengenai program vaksinasi kebangsaan.
Dalam pertemuan selama hampir dua jam itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana bersungguh-sungguh memerangi pandemik yang melanda negara dan dunia ketika ini.
Baginda sangat menghargai setiap usaha dan inisaitif yang dilakukan dari masa ke semasa dalam usaha memulihkan ekonomi serta memerangi wabak berkenaan.
Tuanku Syed Sirajuddin turut mendoakan agar kerajaan dapat memenangi ‘peperangan’ itu dan berharap rakyat memberikan sokongan padu terhadap segala usaha dalam menangani pandemik secara bersama.
Sejurus selepas majlis berlangsung, Perdana Menteri mengiringi Raja Perlis dan Raja Muda Perlis menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri Arau, di sini. – UTUSAN ONLINE