KUALA TERENGGANU: Tindakan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah melabel Pas sebagai pelacur politik adalah tepat dan konsisten dengan perbuatan parti itu selepas pemergian Mursyidul Am, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, tidak salah untuk tokoh politik veteran negara itu mengeluarkan kenyataan sedemikian berdasarkan sejarah kerjasama dengan Pas semasa menerajui Semangat 46.
“Sudah tentu beliau sangat mengenali perangai Pas dari dahulu hingga sekarang,
“Pas hanya boleh menyatakan mereka akan menghantar surat dan tidak lebih daripada itu kerana kenyataan Tengku Razaleigh agak tepat serta mempunyai banyak hujah yang benar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Tengku Razaleigh melabelkan Pas sebagai pelacur politik yang perlu ditewaskan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Raja Kamarul Bahrin turut mendakwa, Pas amat konsisten menjual diri demi kuasa semata-mata tanpa memikirkan prinsip perjuangan parti. – UTUSAN