JOHOR BAHRU: Pusat Persidangan Desaru Coast di Kota Tinggi, dekat sini dijadikan sebagai pusat vaksinasi Covid-19 di bawah Fasa Pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Development Holdings One Sdn. Bhd., Roslina Arbak berkata, pihaknya gembira dapat membantu kerajaan dalam menjayakan program vaksinasi sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Sejak pandemik Covid-19 bermula di negara ini, Desaru Coast bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan menjamin keselamatan pelancong, pekerja serta penduduk setempat.
“Dengan perkembangan terkini ini, kami sudah pasti mahu meningkatkan hubungan baik dengan pihak berkuasa untuk menghentikan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pusat berkeluasan 26,000 kaki persegi itu yang diuruskan oleh The Westin Desaru Coast Resort adalah satu-satunya pusat vaksinasi di Kota Tinggi untuk petugas barisan hadapan.
Proses vaksinasi di pusat itu mula dijalankan Kementerian Kesihatan pada 1 Mac lalu dan bersambung sehingga 11 Mac ini.
Dianggarkan seramai 2,000 petugas barisan hadapan merangkumi kakitangan perubatan, anggota tentera, polis dan bomba terlibat dalam fasa pertama itu.
Proses vaksinasi berkenaan mengikut jadual dengan peringkat permulaan melibatkan petugas barisan hadapan bermula Februari hingga April tahun ini, disusuli golongan warga emas dan mereka yang tergolong sebagai golongan berisiko bermula April hingga Ogos.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil menzahirkan penghargaan kepada Desaru Coast atas sokongan mereka terhadap program berkenaan yang mencerminkan kerjasama cemerlang antara sektor awam dan swasta.
“Desaru Coast dipilih sebagai venue vaksinasi ini kerana lokasi yang memiliki akses mudah buat petugas barisan hadapan dan orang awam.
“Selain itu, pusat ini berkapasiti besar dan selesa untuk mereka yang menerima vaksin terutama pada fasa kedua yang melibatkan warga emas dan orang kurang upaya.
“Saya berharap penduduk Kota Tinggi akan mengambil bahagian dalam program vaksinasi ini supaya daerah ini dapat menjadi zon hijau,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE