SEREMBAN: Ibu bapa perlu memberikan kerjasama kepada pihak sekolah bagi memastikan proses penyuraian murid berjalan lancar sebaik tamat sesi persekolahan tanpa berlaku kesesakan selain tetap mengutamakan penjarakan fizikal.
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, proses kemasukan sekolah pada waktu pagi berjalan lancar dengan murid dan guru mengikuti dan mematuhi setiap prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan.
Namun, katanya, proses penyuraian murid sebaik tamat persekolahan adalah cabaran yang perlu dihadapi Kementerian Pendidikan ketika ini.
“Pada petang ini untuk tujuan penyuraian, kami di peringkat Kementerian Pendidikan memohon jasa baik ibu bapa pastikan di luar sekolah itu penjarakan fizikal dijaga dan kesesakan dapat ditangani dengan baik.
“Sekolah telah menyusun jadual penyuraian murid dengan pelbagai kaedah dan banyak sekolah yang menggunakan kaedah penyuraian secara berperingkat. Oleh itu, amat penting ibu bapa mematuhi jadual penyuraian yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan pembukaan sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan (SK) King George V, dekat sini hari ini.
Tambah beliau, secara keseluruhan, seramai tiga juta murid sekolah rendah telah memulakan persekolahan hari ini selepas pra sekolah, tahap satu dan tahap dua bermula minggu lalu.
“Pihak sekolah telah mencuba yang terbaik, kita dah susun kita cari kaedah, pelbagai model penyuraian, mengambil kira keadaan sekolah, cuma kita mohon jasa baik ibu bapa supaya patuh kepada apa yang ditetapkan kerana proses penyuraian itu tidak panjang, biasa mengambil masa 10 hingga 20 minit sahaja.
“Kalau semua pihak mematuhi kaedah yang ditetapkan, insya-Allah kita dapat lihat, penyuraian dapat berlaku dengan baik , ada penjarakan fizikal dalam kalangan ibu bapa yang menunggu anak mereka di luar sekolah,” katanya. -UTUSAN ONLINE