PPK Kuala Langat pasar hasil ladang dengan aplikasi Shopee - Utusan Malaysia

PPK Kuala Langat pasar hasil ladang dengan aplikasi Shopee

SHAKRAN SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat mengorak langkah setapak lagi dalam bidang pemasaran digital dengan memasarkan 18 hasil ladang melalui platform e-dagang, Shopee.

Antara produk yang boleh dipesan melalui aplikasi tersebut ialah sayur-sayuran segar seperti cili merah, halia, lengkuas, lobak merah, tomato, kacang panjang dan lain-lain.

Menurut Pengurus Besar PPK Kuala Langat, Shakran Shamsudin, pihaknya telah menggunakan perkhidmatan tersebut hampir tiga bulan.

“Pesanan 18 produk hasil ladang tersebut datang dari Lembah Klang dan paling jauh ke Terengganu. Caj RM4.00 dikenakan untuk pesanan sekitar Lembah Klang.

“Buat masa ini maklum balas adalah baik apabila barang yang tiba kepada pelanggan berada dalam keadaan baik kerana dimuatkan dalam kotak khas,” katanya ketika ditemui di Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL) di Teluk Panglima Garang hari ini.

Shakran berkata, walaupun sebelum ini sudah ada pihak pasar raya besar yang menghantar pesanan sayur-sayuran dengan kaedah pesanan melalui dalam talian, pihaknya komited untuk memastikan hanya produk yang benar-benar segar diterima pengguna.

Katanya, sebelum mengadakan kerjasama dengan pihak Shopee, PPK Kuala Langat telah membuat pesanan percubaan ke beberapa destinasi merentas daerah dan negeri.

“Alhamdullillah semua pesanan diterima dalam keadaan baik. Sebelum ini pasar raya besar mampu melakukan penghantaran lebih 20,000 unit produk daripada ladang dan transaksi sebegini bukan sesuatu yang baharu.

“Cuma apa yang ingin saya sampaikan PPK Kuala Langat juga mampu memasarkan produk daripada ladang untuk manfaat rakyat seluruh Malaysia bukan untuk daerah ini sahaja,”katanya.

Terdahulu pada bulan Oktober 2019, pihak Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menggunakan aplikasi perbankan DuitNow yang boleh dimanfaatkan oleh penanam cili di Kuala Langat bagi mengurangkan masa pembayaran wang bagi hasil tuaian yang dijual kepada PPK Kuala Langat.

Seramai 420 penanam cili di daerah tersebut menjadi sebahagian daripada program rintis untuk penggunaan kemudahan perbankan digital hasil kerjasama antara Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), PPK Kuala Langat, CIMB Bank Berhad dan PayNet. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN