MELAKA: Polis Melaka merekodkan tindakan tatatertib kurang daripada dua peratus melibatkan masalah disiplin dan integriti termasuk kes hadir kerja lewat serta aduan orang awam mengenai cara percakapan pegawai dan anggota muda.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, walaupun peratusan adalah rendah, namun, pihaknya tidak akan memandang ringan selain akan mengambil tindakan tegas terhadap setiap pegawai atau anggota terlibat.
“Saya lihat tahap disiplin atau integriti kontinjen Melaka masih terkawal dan hanya melibatkan kesalahan berkaitan dalaman seperti datang lewat atau berambut panjang.
“Selain itu, terdapat juga aduan orang awam mengenai cara pertuturan pegawai dan anggota muda yang disifatkan sedikit kasar dan tidak berpuas hati dengan siasatan diuruskan mereka,” katanya.
Abdul Majid berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Melaka antara Datuk Shahrul Lalli Masduki dan Pemangku Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah, di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, beliau menyaksikan majlis serah tugas di antara Razali yang memangku tugas sebagai Timbalan Ketua Polis negeri berkuatkuasa hari ini menggantikan Shahrul Lalli yang kini menjadi Timbalan Ketua Polis Selangor dan dinaikkan pangkat dengan memangku jawatan Deputi Komisioner Polis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, masalah berkaitan disiplin dan integriti itu telah ditangani segera bagi mengelakkan ia daripada merebak dalam kalangan anggota atau pegawai yang lain.
“Jika tidak diambil satu tindakan yang tegas lama kelamaan pasukan polis akan menjadi lemah dan kemudian menjadi cemuhan masyarakat.
“Jadi pasukan ini, perlu terus menunjukkan nilai disiplin dan integriti tinggi untuk terus membentuk pasukan yang dihormati dan menawan hati masyarakat dalam menjaga ketenteraman negara,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE