Polis marin rampas 430 kg daun ketum, tahan remaja 15 tahun - Utusan Malaysia

Polis marin rampas 430 kg daun ketum, tahan remaja 15 tahun

POLIS marin Kuala Kedah merampas kira-kira 430 kilogram daun ketum bernilai RM43,000 dan menahan seorang remaja lelaki dalam dua serbuan berasingan di Simpang Empat dan Kuala Perlis, semalam.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pasukan Polis Marin Kuala Kedah merampas kira-kira 430 kilogram daun ketum bernilai RM43,000 dan menahan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dalam dua serbuan berasingan di Simpang Empat dan Kuala Perlis di sini, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Pulau Pinang, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, serbuan pertama yang dilakukan di Kampung Tengah, Kuala Perlis menemukan 300 kilogram daun ketum dengan anggaran nilai RM30,000.

Katanya, dalam serbuan kira-kira pukul 6.30 pagi itu, Unit Risikan Marin (URM) bersama pasukan risikan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem)  Kuala Perlis dibantu oleh pasukan Op Benteng Covid-19 Kangar telah menemukan bungkusan plastik hitam yang berisi daun hijau disyaki ketum.

“Pemerhatian dilakukan selama sejam di lokasi terbabit, namun tiada individu yang datang mengambil barangan tersebut.

“Ketum tersebut dibawa balik ke Balai Polis Kuala Perlis untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada pihak nakortik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Rosman berkata, bertindak daripada maklumat penyeludupan terbabit, pihaknya telah membuat serbuan kedua di sebuah rumah di Jalan Simpang Empat pada pukul 10.30 pagi, hari yang sama.

Menurutnya, setibanya di lokasi terbabit, pihaknya telah menahan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang ditemukan bersamanya 130 kilogram daun ketum bernilai RM13,000 di rumah tersebut.

“Semasa serbuan, remaja tersebut telah menunjukkan longgokkan bungkusan plastik hitam yang berisi daun ketum yang diletakkan di ruang dapur rumah.

“Remaja dan barang rampasan tersebut dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Tambah beliau, kedua-dua kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya