PN tetap kukuh - Muhyiddin - Utusan Malaysia

PN tetap kukuh – Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke pusat vaksin Klinik Kesihatan Kampung Gial, Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Perikatan Nasional (PN) masih kukuh meskipun UMNO mengambil pendirian memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, PN terus mengukuhkan kerjasama dan meneruskan usaha-usaha yang dirancang bersama Pas serta parti-parti komponen lain di dalam gabungan tersebut khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pada masa sama, Muhyiddin juga memaklumkan bahawa Pas menyatakan pendirian cukup kukuh untuk kekal bersama PN dan meneruskan apa yang dirancang di dalam gabungan berkenaan.

“Saya fikir tidak menjadi apa-apa masalah (surat UMNO menamatkan kerjasama dengan Bersatu) walaupun kita mahu melihat gabungan parti-parti yang ada boleh terus kekal kerana rakyat sudah suka.

“Tetapi apa pun saya serah kepada rakan-rakan gabungan parti-parti lain. Namun di dalam PN Alhamdulilah keadaan masih kukuh,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke pusat vaksin Klinik Kesihatan Kampung Gial, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung surat yang dihantar oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi secara rasmi kepada beliau bagi memutuskan kerjasama dengan Bersatu pada 26 Februari lalu.

Ia hasil keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Janda Baik, Pahang baru-baru ini.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu semalam turut memandang serius terhadap kandungan surat tersebut kerana ia mempunyai implikasi yang besar terhadap kerjasama di masa hadapan antara UMNO, Bersatu dan PN.

Dalam hal tersebut, Bersatu memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam PN iaitu Pas, STAR, SAPP dan Gerakan berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihan raya akan datang.

Malah, Bersatu juga berpendirian bahawa kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri masih utuh dan berfungsi untuk memberi khidmat kepada rakyat.

Tambah Muhyiddin, mesyuarat biro politik parti itu semalam telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

“Malah, selepas itu, kita bermesyuarat dengan Pas dan Alhamdulilah Pas menyatakan pendirian yang cukup kukuh, kekal bersama dalam PN dan meneruskan apa yang dirancang,” kata Perdana Menteri. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya