PETALING JAYA: Di saat tercetusnya percaturan drama politik antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mesyuarat Kabinet hari ini berlangsung seperti biasa di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu disertai beberapa jemaah menteri termasuk daripada UMNO.
Terdahulu, Muhyiddin berkongsi beberapa gambar mesyuarat Kabinet menerusi hantaran Facebook beliau.
Sudah menjadi kebiasaan, mesyuarat Jemaah Menteri berlangsung pada setiap Rabu manakala pada Jumaat sepanjang Parlimen bersidang.
Turut kelihatan dalam mesyuarat itu adalah Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berada di sebelah kanan Muhyiddin, manakala Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berada di sebelah kirinya.
Turut kelihatan, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd. Radzi Md. Jidin.
Sebelum itu, Muhyiddin dalam kenyataan memaklumkan telah menasihatkan menteri-menteri daripada UMNO supaya terus kekal berada di Kabinet dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.
Justeru itu, kata Perdana Menteri, atas nasihat yang beliau berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua menteri UMNO akan terus kekal berada dalam Kabinet.
Katanya, Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisiatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang.
Ujar beliau, nasihat itu disampaikan selepas Kabinet terlibat menemuinya Isnin lalu dan meminta nasihat mengenai kedudukan mereka dalam Kabinet berikutan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketika ini secara keseluruhan Muhyiddin melantik 69 orang menteri dan timbalan menteri, dan daripada jumlah itu 14 adalah wakil UMNO manakala 12 orang lagi sedang berkhidmat dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan jika apabila UMNO keluar daripada kerajaan PN, pemimpinnya yang menjadi menteri dan yang memegang jawatan kanan lain dalam kerajaan akan mendukung keputusan berkenaan perlu menarik diri atau meletak jawatan.
Hal ini ekoran seluruh perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2020 sebulat suara bersetuju untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan PN dalam PRU-15. – UTUSAN ONLINE