JOHOR BAHRU: PKR menyatakan permohonan maaf secara terbuka atas tindakan dua wakil rakyatnya iaitu Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien yang ‘melompat’ keluar parti.
Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata, permohonan maaf itu dibuat kerana kesal dengan tindakan kedua-dua individu berkenaan yang mengkhianati mandat diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Menurut beliau, kepimpinan parti itu bagaimanapun berjanji tidak akan meminggirkan ahli dan pengundi di kedua-dua kawasan berkenaan.
“Kami mahu membuat permohonan maaf kepada semua rakyat khususnya pengundi Parlimen Tebrau dan Parlimen Julau kerana calon yang kita pilih telah mengkhianati mandat rakyat.
“Kami berasa sangat bersalah seterusnya memastikan bahawa calon yang akan datang adalah seorang individu yang berintegriti dan berkeupayaan, lebih baik daripada Ahli Parlimen yang mengkhianati mandat rakyat. Itu jaminan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Menghormati Wanita yang dianjurkan PKR Bahagian Tebrau, di pusat beli belah Aeon Tebrau, di sini hari ini.
Pada 28 Februari lalu, Larry Sng dan Steven Choong menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali gus meninggalkan PKR.
PKR turut menghantar surat tuntutan bernilai RM10 juta kepada Steven Chong kerana bertindak keluar parti pada 3 Mac lalu. Surat sama bagaimanapun tidak dikeluarkan kepada Larry Sng kerana beliau bertanding atas tiket bebas sebelum menyertai PKR.
Sementara itu, Lih Kang bagaimanapun berkata, tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Amanah Negara (Amanah) yang menyatakan sokongan kepada PKR berbeza dengan tindakan Ahli Parlimen Tebrau dan Julau.
“Ini tidak jadi isu, ia berbeza dengan Ahli Parlimen Tebrau dan Julau yang melompat kepada gabungan lain. Tetapi daripada Amanah ke PKR, ia adalah ‘friendly party’.
“Bagaimanapun, perkara ini akan diselesaikan secara dalaman melibatkan kepimpinan kedua-dua parti iaitu PKR dan Amanah,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas berhubung dakwaan DAP mahu bertanding di kerusi milik PKR dalam PRU akan datang, Lih Kang menegaskan mereka tidak akan menyerahkan kerusi milik parti itu kepada mana-mana pihak.
“Kita tidak akan menyerahkan kerusi yang disandang kecuali melibatkan pertukaran kerusi yang setara,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE