PKR Johor mesyuarat Ahad ini - Utusan Malaysia

PKR Johor mesyuarat Ahad ini

HASSAN ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: PKR Johor akan mengadakan mesyuarat pada 7 Mac ini bagi membincangkan situasi politik semasa dan kedudukan parti selepas Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon mengambil keputusan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, PKR Johor dilihat semakin lemah dan bersifat defensif ketika ini walaupun sebenarnya masih mempunyai barisan kepemimpinan yang kuat.

“Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh menyedari bahawa beliau mempunyai pasukan yang kuat untuk mengubah keadaan yang defensif ini kepada ofensif.

“Mesyuarat yang akan berlangsung itu perlu merangka strategi untuk mengambil semula bukan sahaja kerusi Parlimen Tebrau tetapi kerusi Parlimen Batu Pahat dan Parlimen Segamat yang sudah jatuh kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Dalam kekosongan kepimpinan PKR di Parlimen Tebrau, kepemimpinan PKR Johor dan Pusat tidak perlu risau dan boleh menarik nafas lega (kerana) patah tumbuh, hilang berganti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Steven Choong dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien yang juga daripada PKR pada Ahad menyatakan sokongan kepada kerajaan PN dengan menyerahkan akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani mereka kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penyerahan SD tersebut dimuat naik Muhyiddin menerusi hantaran dalam akaun Facebook rasmi beliau pada hari yang sama.

Dalam pada itu, Hassan mencadangkan Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu menjadi calon di Parlimen Tebrau berdasarkan sumbangan dan kredibilitinya.

Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berkata, cadangan itu bersandarkan kredibiliti Jimmy Puah yang merupakan calon pertama PKR menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) selain pernah menjadi Exco kerajaan negeri yang cemerlang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya