PKPD di Penjara Tapah, kuarters dilanjutkan seminggu lagi

PKPD di Penjara Tapah, kuarters dilanjutkan seminggu lagi

PKPD di Penjara Tapah dan kuarters kakitangannya dilanjutkan lagi buat tempoh kali kedua bermula 16 hingga 29 Mac depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tapah dan kuarters kakitangannya di Daerah Batang Padang, Perak dilanjutkan lagi selama dua minggu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lanjutan PKPD buat tempoh kali kedua itu akan bermula pada 16 Mac ini hingga dijadualkan tamat 29 Mac depan.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan melakukan 2,660 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 556 kes positif Covid-19 sudah direkodkan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Pihak kementerian itu ujarnya, turut mengesahkan terdapat baki 562 lagi sampel yang sedang menunggu keputusan dan masih berlaku penularan melibatkan tahanan di penjara tersebut.

Justeru katanya, setelah dibuat penilaian risiko oleh pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di lokaliti itu yang sepatutnya tamat 15 Mac ini.

Penjara dan kuarters petugasnya di KM12, Jalan Tapah itu mula dikenakan PKPD pada 16 Februari lalu, sebelum ditambah lagi pada 1 Mac lepas kerana jangkitan masih terus berlaku.

Institusi itu dirasmikan Almarhum Sultan Perak pada 2006 dan berkeluasan 82 hektar dengan kapasiti selesa 2,061 banduan yang berasaskan model Penjara Sungai Buloh di Selangor.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan bahawa PKPD di asrama pekerja kilang Imperial Garments di Anjung Tawas Damai, Kinta, Perak ditamatkan mengikut jadualnya pada esok.

“Sehingga kini, pihak kementerian berkenaan sudah pun melaksanakan sebanyak 619 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif 389 kes positif telah dilaporkan,” katanya.

Bagaimanapun ujar beliau, tiada kes baharu direkodkan dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif serta kontak rapat wabak tersebut sudah diasingkan oleh pihak berkuasa.

Sehubungan itu tambahnya, atas nasihat Kementerian Kesihatan, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di lokaliti ini seperti yang dijadualkan setelah dimulakan pada 1 Mac lalu.

Asrama kilang itu disewa syarikat tekstil pelbagai jenama terkenal global dimiliki TAL Group berpusat di Hong Kong, China dan beroperasi di kawasan perindustrian Tasek sejak 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN