PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Kilang YTY dan Asrama Pekerja di Lekir, Setiawan, Perak bermula esok hingga 1 April ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.
Menurut beliau, sebanyak 60 kes positif direkodkan selepas 162 ujian saringan dilakukan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti itu.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut memutuskan PKPD di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan lagi sehingga 2 April ini.
Katanya, setakat ini Kementerian Kesihatan melaksanakan 602 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 27 kes positif direkodkan.
“Kementerian Kesihatan mengesahkan masih berlaku peningkatan kes dalam kalangan penghuni sekolah terbabit dan terdapat baki 171 sampel ujian saringan sedang menunggu keputusan,” katanya. – UTUSAN ONLINE