PICK diperkuat dengan kerjasama lima entiti korporat

PICK diperkuat dengan kerjasama lima entiti korporat

KHAIRY Jamaluddin (tengah) bersama wakil lima entiti korporat untuk kolobrasi PICK, di Putrajaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini diperkuatkan dengan kolaborasi lima entiti korporat membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat perkhidmatan kurier, pusat beli-belah dan syarikat e-hailing.

Kehadiran kerjasama itu akan memperkukuhkan kempen dan program vaksinasi negara buat masa ini terutama menjelang fasa dua PICK bermula 19 April depan.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata, lima entiti berkenaan termasuk Pos Malaysia, Grab, Parkson, St. John Ambulans Malaysia (SJAM) dan Living Minds.

Beliau berkata, entiti korporat itu akan memberi sokongan promosi bagi menggalakkan pendaftaran dan meningkatkan komunikasi kerajaan mengenai PICK terutama di kawasan luar bandar dengan memanfaatkan jaringan, kelebihan dan aset mereka.

“Kerjasama dengan rakan korporat ini adalah satu lagi manifestasi pendekatan menyeluruh masyarakat membabitkan kolaborasi dengan pihak lain bagi menjayakan PICK,” katanya pada majlis pelancaran kerjasama itu di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Parkson Corporation Sdn. Bhd., Tan Sri William Cheng; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Bhd., Syed Md. Najib Syed Md. Noor; Pengarah Operasi Negara Grab Malaysia, Rashid Shukor; Pengerusi St. John Ambulans Malaysia; Datuk Lai See Ming dan Ketua Pegawai Eksekutif Living Minds Sdn. Bhd., Roshan Bose.

Katanya, beliau berharap syarikat-syarikat korporat itu akan membantu Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menembusi setiap  segmen masyarakat, khususnya kumpulan fasa dua dan komuniti-komuniti di luar bandar dan pedalaman.

Khairy berkata, kerjasama itu juga diharap dapat mendorong lebih banyak sokongan dan kerjasama dengan syarikat dan sektor lain pada masa depan.

Menerusi kerjasama itu, Pos Malaysia akan membantu untuk mengedarkan risalah promosi vaksinasi melalui peti-peti surat oleh posmen di seluruh negara terutama di kawasan luar bandar dan negeri-negeri yang mencatatkan peratusan pendaftaran yang masih rendah. 

Malah, Pos Malaysia juga akan melancarkan satu setem edisi khas Covid-19 bagi meraikan penghargaan kepada petugas barisan hadapan.

Manakala, Grab pula akan membantu dalam meningkatkan kesedaran serta menyediakan maklumat penting dan tepat, menerusi aplikasinya selain menyediakan pautan terus kepada aplikasi MySejahtera.

Grab juga akan membantu memudahkan perjalanan dan memastikan pengalaman positif bagi mereka yang hendak ke Pusat Pemberian Vaksin (di kawasan Grab beroperasi).

Selain itu, Living Minds iaitu sebuah syarikat pemasaran sukan tempatan pula akan turut membantu dari segi promosi digital melalui penyebaran mesej-mesej positif oleh sekurang-kurangnya 12 pemain bola sepak di bawah pengurusan mereka di media sosial.

Sementara itu, Parkson mengambil inisiatif membuka kaunter pendaftaran PICK di 40 cawangan pusat beli-belah mereka selama enam bulan serta 15 lokasi Kempen Derma Darah di seluruh Malaysia bermula 28 sehingga 30 Mei ini.

Dalam pada itu, SJAM akan turut dimobilisasikan untuk tujuan menghebahkan aplikasi pendaftaran MySejahtera bagi PICK.

Di samping itu, Parkson juga akan menyediakan kaunter informasi khas di 20 cawangannya; enam di zon tengah, empat di zon utara, tiga di zon selatan, satu di Pantai Timur, empat di Sabah dan dua Sarawak.

SJAM pula bersedia menawarkan sokongan kecemasan dengan menyediakan pertolongan cemas serta ambulans di PPV bagi sebarang keperluan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya