SEREMBAN: Isu pembahagian kerusi dalam kalangan parti gabungan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan telah dibincangkan dan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembahagian kerusi dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis PH Negeri Sembilan semalam mengambil kira jangkaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada bila-bila masa.
“Kita akan memuktamadkan dalam masa terdekat dan sekarang nampak harmoni. Kalau yang lama itu kena ikutlah (pengagihan kerusi), kalau ada yang kosong barulah kita rundingkan. Dulu ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), jadi yang kosong kita akan isi secara rundingan, secara perbincangan.
“Daripada parti masing-masing pasti ada (calon baharu). Calon itu kita belum muktamadkan tetapi setiap kali pilihan raya umum, akan ada muka baharu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Pasca Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (Covid-19) di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Sementara itu, Aminuddin berkata, PH negeri perlu bersedia untuk menghadapi PRU-15 meskipun pernah mengambil ketetapan sebelum ini bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan ikut terbubar sekiranya Parlimen dibubarkan lebih awal.
“Ya, kita melihat kalau boleh (mahu) sampai akhir penggal tetapi kita juga bersedia kerana tidak tahu dalam keadaan darurat. Yang mengisytiharkan pembubaran ialah Yang di-Pertuan Agong, perkara-perkara itu yang menjadi faktor untuk kita sentiasa bersedia.
“Kalau boleh memang mahu sampai ke akhir (penggal) tetapi apa juga boleh berlaku dalam politik hari ini dan saya yakin kesiapsagaan itu harus ada mulai sekarang,” katanya.
Sementara itu, ditanya keadaan Parti Amanah Negara (Amanah) negeri yang dikatakan mempunyai masalah dalaman, beliau berpandangan, perkara itu perlu diselesaikan oleh parti berkenaan tanpa campur tangan parti lain yang membentuk gabungan PH.
“Berhubung dengan isu dalaman Amanah, kita tidak akan masuk campur, biarlah mereka selesaikan sendiri dan kita daripada dahulu menghormati apa juga keputusan parti masing-masing. Kita bukan sahaja menjaga parti tetapi keluarga PH, itu yang paling utama,” katanya. – UTUSAN ONLINE