PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengumumkan penemuan minyak dan gas baharu di telaga penerokaan wildcat, Sirung-1 dalam Blok SK405B Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) yang terletak di perairan cetek wilayah Balingian, kira-kira 237 kilometer dari pesisir Miri, Sarawak.
Telaga cari gali Sirung-1 berjaya digerudi sehingga kedalaman 2,538 meter pada Februari lalu.
Menurut Petronas, penemuan ruang minyak dan gas yang penting ini melebihi 100 meter dalam takungan batu Oligosen hingga pertengahan Miosen, sekali gus mengesahkan potensi wilayah Balingian, dengan prospek yang masih belum diterokai.
Naib Presiden Cari Gali dan Huluan Petronas, Emeliana Rice-Oxley berkata, penemuan di Sirung-1 membuktikan wujudnya lebih banyak minyak, terutama dalam dalam kawasan lebih dalam yang belum diterokai di wilayah Balingian.
“Ini direalisasikan selepas kejayaan sama di telaga tambahan di Medan D18. Kami yakin berada dalam kedudukan yang baik untuk meneruskan usaha di dua blok lain di wilayah yang sama iaitu Blok SK411 dan SK306.
“Usaha mengembangkan blok ini dan kawasan sekitarnya tetap menjadi bahagian penting Petronas dan rakan kongsi kami dalam rancangan pertumbuhan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan, semalam.
PTTEP Sarawak Oil Limited sebagai pengendali memegang kepentingan sebanyak 59.5 peratus, MOECO Oil (Sarawak) Sdn. Bhd. memegang 25.5 peratus dan Petronas Carigali Sdn. Bhd. memegang baki 15 peratus kepentingan dalam penyertaan di Blok SK405B.
PSC berkenaan ditandatangani pada November 2017 sebagai hasil Pusingan Tawaran Malaysia (MBR) 2015.
Tambah beliau, Petronas amat gembira dengan kejayaan berterusan dengan rakan kongsi mereka menerusi penemuan demi penemuan tahun ini dan tetap optimis dengan aktiviti penerokaan untuk tahun 2021.
Untuk MBR 2021, Petronas menawarkan 13 peluang baharu di lembangan prolifik Malaysia yang turut disertakan dengan terma fiskal dan bukan fiskal yang dipertingkatkan.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Petronas untuk berkembang bersama-sama rakan kongsinya di Malaysia. – UTUSAN ONLINE