Peti, buku log pantau stesen minyak di sempadan - Utusan Malaysia

Peti, buku log pantau stesen minyak di sempadan

ALEXANDER Nanta Linggi (tengah) menunjukkan buku log yang ditetakkan di Stesen Minyak Petronas di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan, hari ini. - YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Penggunaan peti khas dan buku log lawatan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjadi pendekatan terbaharu dalam membendung penyeludupan bahan api bersubsidi ke negara jiran.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, idea penggunaan peti dan buku log lawatan tersebut diinspirasi daripada pelaksanaan polis di premis-premis berisiko yang dilihat mampu menangani ketirisan bahan api tersebut.

“Peti dan buku log ini ditempatkan di semua stesen-stesen minyak yang berada di kawasan sempadan negara.

“Dengan adanya peti dan buku log ini, anggota penguat kuasa KPDNHEP akan melakukan pemantauan rapi ke atas rekod jualan bahan api itu bagi mengelakkan berlakunya ketirisan ke negara jiran,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau pelaksanaan peti dan buku log lawatan di Stesen Minyak Petronas Pasir Pekan, di sini hari ini.

Alexander memberitahu, anggota penguat kuasa terus membuat pemantauan terhadap kenderaan asing yang masuk untuk mengisi minyak di stesen yang terletak di kawasan sempadan.

“Sehingga November 2020, terdapat 281 buah stesen minyak yang terletak di kawasan sempadan negara.

“Kerajaan tidak mahu kenderaan asing ini masuk ke dalam negara dan mengambil peluang untuk mengisi bahan api itu dengan tujuan sebagai bekalan untuk dijual di negara mereka,” katanya.

Kata beliau, harga runcit petrol di negara ini adalah antara yang terendah di rantau ASEAN menyebabkan stesen minyak di sempadan negara sering menjadi sasaran penyeludup untuk membawa keluar bekalan ke negara jiran.

“KPDNHEP berharap masyarakat setempat akan terus membantu menyalurkan kepada kita maklumat atau aduan berkaitan sebarang perlakuan yang mencurigakan membabitkan bahan bakar ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN