Pesara didakwa kumpul duit haram hasil seludup gading gajah - Utusan Malaysia

Pesara didakwa kumpul duit haram hasil seludup gading gajah

Md. Nawi Ab. Aziz, 70, didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Puteh pada 21 Mac 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Pesara kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan memiliki unit saham bernilai RM753,220, hasil aktiviti penyeludupan dan jual beli gading gajah sejak empat tahun lalu.

Md. Nawi Ab. Aziz, 70, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Rosly Mohamed Nawi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa memperoleh wang RM239,260 yang merupakan hasil aktiviti seludup dan jual beli gading gajah ke dalam akaun bank CIMB miliknya di Bank CIMB Pasir Mas pada 29 April 2017 hingga 19 Oktober 2019.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, Md. Nawi didakwa memperoleh 104,000 unit saham yang merupakan hasil aktiviti haram sama ke dalam akaun amanah saham di Permodalan Nasional Berhad (PNB) miliknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di PNB cawangan Amanah Saham Nasional Berhad, Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu pada 24 Julai hingga 16 Ogos 2017 dan 23 September 2019.

Lima pertuduhan itu didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan keenam hingga kelapan, tertuduh didakwa menyembunyikan wang RM409,960 ke dalam akaun bank CIMB miliknya bermula 1 Januari 2017 hingga 31 Disember 2019 di Bank CIMB Berhad Pasir Mas pada 30 Jun 2018, 30 Jun 2018 dan 30 Jun 2020.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(d) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram, atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Zainal manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nor Erini Mustapha.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM70,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan sebutan semula kes pada 22 April depan. Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN