GEORGETOWN: Kerajaan Pusat disaran mempertimbang penubuhan Lembaga Lembangan Ulu Muda (LLUM) untuk menguruskan Ulu Muda secara profesional dan lestari sebagai kawasan tadahan air terpenting di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, LLUM yang merupakan sebuah jawatankuasa bebas itu harus dibentuk untuk menyusun dan melaksanakan Rancangan Lembangan Ulu Muda bagi kepentingan 4.2 juta rakyat di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
“Ulu Muda mesti dikendalikan secara lestari sebagai kawasan tadahan air utama NCER.
“Pengurusan lestari mengkehendaki Kerajaan Pusat menghentikan sepenuhnya dan melarang semua aktiviti pembalakan, perlombongan dan lain-lain yang merosakkan di Ulu Muda,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, LLUM yang dicadangkan itu kemudiannya harus diberi kuasa untuk menegakkan larangan tersebut secara bebas, tanpa rasa takut atau pilih kasih bagi melindungi kepentingan awam.
Beliau berkata, Kerajaan Pusat boleh melaksanakan rancangan pengurusan saintifik dan mesra alam yang mengutamakan perlindungan dan pemuliharaan hutan hujan 163,000 hektar di Ulu Muda untuk kebaikan rakyat, dari segi keselamatan bekalan air jangka panjang.
“Kesejahteraan masa hadapan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sumbangan cukai Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sangat bergantung pada ketersediaan air mentah yang mencukupi dari Ulu Muda,” katanya. – UTUSAN ONLINE