Kerajaan negeri digesa percepat proses ambil tanah projek KRC

Kerajaan negeri percepat proses ambil tanah projek KRC

MAHDZIR Khalid menerima suntikan vaksin pada Majlis Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 peringkat daerah Padang Terap di Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah hari ini. - FOTO/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Kerajaan negeri digesa mempercepatkan proses pengambilan tanah untuk melengkapkan pembangunan projek Kedah Rubber City (KRC) di sini yang dalam fasa penyediaan kemudahan bekalan elektrik dan air.

Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kelancaran proses tersebut akan membolehkan projek KRC disiapkan awal tahun depan sekali gus memanfaatkan penduduk khususnya di daerah ini.

Katanya, ketika ini projek infrastruktur bagi KRC berjalan lancar, namun kerja-kerja kecuali kerja menyalurkan kemudahan elektrik dan air masih tertangguh sejak zaman pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Infrastruktur KRC adalah di bawah kelolaan kerajaan negeri dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), cuma kita sekarang masih kekurangan kemudahan bekalan elektrik dan loji bekalan air di Padang Sanai dekat sini.

“Jadi saya sebagai ahli parlimen berharap kerajaan negeri dan NCER dapat mempercepatkan kelulusan untuk pengambilan tanah atau laluan bekalan elektrik dan loji bekalan air,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 peringkat daerah Padang Terap di Pejabat Majlis Daerah Padang Terap di Kuala Nerang di sini hari ini.

Mahdzir bersama 12 ketua jabatan dan agensi barisan hadapan peringkat daerah di sini menerima suntikan berkenaan hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerahnya, Datuk Md. Shuhaime Abd Rahman yang turut menerima suntikan itu.

Mengulas lanjut, Mahdzir yang juga Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, pihak TNB juga sudah bersiap sedia bagi melaksanakan projek kemudahan elektrik 132 kilo volt (KV).

“Kerja mengalirkan bekalan elektrik itu akan bermula dari Tanjung Pauh, Jitra ke Kuala Nerang dan dari Kuala Nerang ke KRC di Padang Sanai.

“Jadi saya merayu kepada kerajaan dapat mempercepatkan proses pengambilan tanah ini, saya difahamkan pengambilan tanah fasa pertama sudah dilakukan dan sekarang ini sedang dibangunkan infrastruktur di kawasan tersebut.

“Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap sudah ambil tindakan sepatutnya, saya ingat kita tak ada masalah, saya jangka paling awal kemudahan elektrik ini boleh siap adalah pada awal 2022,” katanya.

Akhbar ini melaporkan sebelum ini, Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap berjaya menarik pelaburan berpotensi melebihi RM2.1 bilion sekali gus bakal menyediakan  lebih 5,000 peluang pekerjaan daripada pemain industri getah tempatan.

KRC dibangunkan di kawasan seluas 503 hektar di Padang Terap dan merupakan projek taman perindustrian getah berstatus nasional pertama di Malaysia yang diusahakan bersama kerajaan negeri dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN