TEMERLOH: Pihak swasta, persendirian dan korporat diminta tampil membantu kerajaan membina lebih banyak rumah kekal kepada mangsa banjir yang memerlukannya di sepanjang Sungai Pahang.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah bertitah, sumbangan itu dapat membantu kerajaan membina lebih banyak rumah selesa kepada keluarga yang mana kediaman mereka sering dilanda banjir.
“Saya sangat prihatin dengan nasib menimpa rakyat. Oleh itu pembinaan rumah seperti ini perlu diperbanyakkan melalui sokongan swasta dan korporat sebagai tanggungjawab sosial korporat.
“Bantuan rumah seperti ini bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga tetapi perasaan mereka setelah dilanda musibah banjir,” titah baginda pada majlis pecah tanah rumah kekal banjir milik Ramlah Hitam 81, di Kampung Lompat, di sini hari ini.
Seri Paduka dalam kunjungan itu meninjau tapak pembinaan rumah pasca banjir di daerah ini membabitkan Kampung Lompat, Kampung Sungai Dingin dan Kampung Pengkalan Manggis.
Berkenan berangkat sama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah.
Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin.
Al-Sultan Abdullah dalam pada itu turut menitahkan supaya kerja-kerja membina rumah mengikut spesifikasi diperlukan antaranya jenis bertiang dan mengikut jadual ditetapkan sekitar 16 minggu. – UTUSAN ONLINE