IPOH: Majlis akad nikah di Perak kini boleh dijalankan di premis yang disewa seperti hotel dan dewan komuniti selain masjid serta surau berkuat kuasa Jumaat ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, penganjuran majlis di masjid dan surau itu bagaimanapun perlu mendapatkan kebenaran daripada pengerusi di kedua-dua premis tersebut.
“Berkuat kuasa Jumaat ini, majlis akad nikah diberi pilihan keutamaan untuk dilaksanakan di premis-premis tersebut termasuk di Pejabat Agama Islam Daerah.
“Penganjuran di lokasi tersebut perlu mematuhi jumlah kehadiran iaitu 50 peratus daripada kapasiti premis atau tidak melebihi jumlah maksimum 250 orang.
“Selain itu, amalan norma baharu juga perlu terus dipraktikkan seperti kerap membasuh tangan, penjarakan sosial dan memakai pelitup muka,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook hari ini.
Menurut Mohd. Yusop, ketetapan baharu itu dibuat selaras dengan pengumuman kerajaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelaksanaan Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada 24 Februari lalu.
Katanya, ketetapan yang bermula 5 Mac ini diguna pakai sehingga satu arahan baharu diberitahu kelak.
“Pendaftar atau Penolong Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk (PPNCR) bertanggungjawab memantau tatacara baharu ini sepanjang majlis akad nikah berlangsung.
“Malah, pihak pengantin juga bertanggungjawab sepenuhnya ke atas setiap pelanggaran mana-mana peraturan yang telah dikuatkuasakan,” katanya.
Tambah beliau, sepanjang tempoh itu, sesuatu majlis juga boleh ditangguh atau dibatalkan oleh Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah atau PPNCR sekiranya tatacara yang dikeluarkan itu gagal dipatuhi. – UTUSAN ONLINE