ALOR SETAR: Seorang bekas penyelia sebuah pusat refleksologi di Langkawi, dekat sini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi suapan berjumlah RM500 kepada seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), tiga tahun lalu.
Tertuduh, Kee Chai Kwong, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaj pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Murtazadi Amran.
Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan Chai Kwong kira-kira pukul 7 petang pada 16 Oktober 2018 di Pusat Refleksologi Sabai-Sabai, Sandy Beach Resort di Jalan Pantai Chenang, Langkawi.
Suapan tersebut didakwa diberikan kepada pegawai imigresen berkenaan sebagai dorongan untuk melepaskan tiga pekerja wanita warganegara Thailand yang ditahan JIM kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 39(b) iaitu melanggar syarat pas.
Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Hakim menetapkan 8 April ini sebagai tarikh sebutan semula dengan tertuduh dibenarkan diikat jamin berjumlah RM8,000 oleh seorang penjamin selain perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama, setiap bulan.
Tertuduh yang kini menganggur, membayar jaminan tersebut. – UTUSAN ONLINE