PUTRAJAYA: Kerajaan membenarkan kemasukan penonton ke stadium atau lokasi bagi kejohanan-kejohanan sukan seperti Liga Malaysia tertakluk kepada syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai percubaan awal untuk menilai keberkesanan Protokol Pengurusan Penonton, perlawanan bola sepak dalam Liga Malaysia (MFL) dibenarkan dahulu bagi kemasukan penonton berkuat kuasa 1 April ini.
Menurut beliau, antara syarat itu ialah bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB), kapasiti penonton adalah 10 peratus atau 2,000 orang (mana-mana yang lebih rendah) dengan kawalan penyeliaan sepanjang masa.
Bagi kawasan PKP Pemulihan (PKPP) pula, sebanyak 25 peratus kapasiti penonton atau 8,000 orang (mana-mana yang lebih rendah) dengan kawalan penyeliaan sepanjang masa.
“Walau bagaimanapun, semua penganjuran kejohanan dengan kehadiran penonton adalah tertakluk kepada kebenaran oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Di samping itu, pihak KBS, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan akan turut memantau dan membuat penilaian pematuhan protokol yang ditetapkan khususnya dalam aspek pergerakan, kemasukan dan penyuraian penonton semasa perlawanan tersebut nanti,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Ismail Sabri memberitahu, antara SOP yang perlu dipatuhi adalah seperti tiket hanya dijual secara dalam talian (online) sahaja, penjarakan fizikal minima 1.5 hingga 2 meter di antara setiap penonton dan operasi jualan hanya dibenarkan di kedai sedia ada di kawasan stadium venue sahaja.
Katanya, pergerakan masuk dan keluar penonton adalah secara berjadual dan tersusun manakala SOP terperinci pengurusan penonton yang lain boleh dirujuk dalam laman web KBS dan MKN. – UTUSAN ONLINE