KUALA LUMPUR: Sikap segelintir penjawat awam yang mudah lupa diri apabila melihat peluang untuk menerima rasuah bukan sahaja boleh memudaratkan agensi atau jabatan yang mereka wakili, tetapi juga diri sendiri.
Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM), Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, tanggungjawab para pegawai adalah memberi khidmat kepada rakyat dan bukannya menggunakan kedudukan mereka untuk kepentingan peribadi.
“Sepatutnya mereka mesti mengingati aku janji semasa memulakan perkhidmatan. Ini tidak, apabila sudah berada dalam perkhidmatan, sudah nampak ruang dan peluang, mulalah lupa diri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, rasuah di negara ini boleh diibaratkan seperti penyakit kencing manis atau jenayah turun-temurun.
Ini kerana tidak kira berapa kerap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat operasi dan memberi amaran, namun jenayah sama tetap berlaku.
Lebih merisaukan apabila penjenayah tamak haloba itu didominasi dalam kalangan penjawat awam. Mereka ini digaji untuk menjaga kebajikan rakyat namun yang berlaku sebaliknya.
Kes rasuah membimbangkan berdasarkan statistik SPRM yang diperoleh Utusan Malaysia dalam tempoh enam tahun sejak 2015 hingga 2020 merekodkan sebanyak 5,652 individu ditahan dengan 2,683 membabitkan penjawat awam diikuti 1,622 orang awam, 1,347 lagi lain-lain kategori termasuk pekerja swasta dan ahli politik.
Mohd. Zuki yang juga Ketua Setiausaha Negara berkata, kesedaran dan integriti perlu sentiasa ada dalam dalam diri setiap pegawai dan anggota penjawat awam agar tidak terjerumus dengan perbuatan rasuah
Beliau mengingatkan mereka supaya tidak mengambil kesempatan sekiranya terdapat ruang dan peluang untuk melakukan jenayah rasuah.
Menurut beliau, kerajaan tidak berkrompomi dengan kes salah laku sekiranya ia dibuktikan dengan siasatan yang jelas.
“Kerajaan juga akan meneliti untuk membuat pusingan kerja kepada jabatan-jabatan yang kritikal atau yang boleh terlibat dengan salah laku rasuah.
“Mereka ini tidak boleh lama sangat duduk situ, kalau sudah lama, mulalah kenal kontraktor. Kita akan cuba untuk memaksimumkan tempoh seseorang pegawai itu hanya tiga tahun,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Nor’afiza Saim berkata, tangkapan salah laku rasuah yang dilihat hari ini adalah kerana keberkesanan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS.
“Tangkapan itu bukan perkara negatif sebaliknya adalah kesan baik daripada sistem ini,” katanya.
Katanya, sistem itu melindungi pengadu menyebabkan mereka lebih berani membuat aduan berkenaan salah laku tersebut .
“Rasuah ini bukan berlaku setahun dua, tetapi sudah berlaku bertahun-tahun. Ini menunjukkan sistem itu efektif untuk pengadu lebih berani serta mudah untuk diambil tindakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE