PUTRAJAYA: Hanya Lembaga Pengampunan yang mampu menyelamatkan penarik kereta, Koong Swee Kwan daripada hukuman gantung sampai mati.
Ini kerana Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak rayuannya berhubung sabitan salah dan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysia (AmBank), Hussain Ahmad Najadi, lapan tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim turut mengekalkan hukuman penjara 18 tahun yang dijatuhkan ke atas Koong Swee Kwan bagi kesalahan cuba membunuh isteri Hussin iaitu Cheong Mei Kuen.
Ketika membaca penghakiman ringkasnya, Hakim Rohana memberitahu, dalam penghakimannya, pembelaan Swee Kwan telah diberi pertimbangan sewajarnya oleh Mahkamah Tinggi namun bukti terhadapnya amat kukuh dan meyakinkan.
Mengikut pertuduhan, Swee Kwan didakwa melakukan kedua-dua kesalahan tersebut antara pukul 1.30 dan 2 petang, 29 Julai 2013, di tempat letak kereta di Tokong Cina Kuan Yin, No. 4, Lorong Ceylon, Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Pertuduhan bagi kesalahan membunuh Hussain, 75, dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala dakwaan bagi cubaan membunuh Mei Kuen dibuat mengikut Seksyen 307(1) akta sama.
Swee Kwan pernah terlepas daripada hukuman gantung selepas panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, pada 14 Disember 2016 mengenepikan sabitan terhadapnya dan mengarahkan kes itu dibicarakan semula di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang berlainan selepas mendapati hakim asal yang mendengar perbicaraan itu mungkin tersalah arah memandangkan hakim asal itu telah mendengar rayuan seorang pemandu teksi, Chew Siang Chee yang berdepan pertuduhan memiliki pistol dan peluru.
Siang Chee merupakan individu yang membawa Swee Kuan dari lokasi selepas insiden tembakan itu.
Dia telah disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memiliki pistol serta peluru hidup namun dibebaskan daripada sabitan itu oleh Mahkamah Rayuan pada 2015.
Seramai 17 saksi dipanggil memberi keterangan di peringkat pendakwaan sementara Swee Kwan memberikan keterangan dari kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah merupakan saksi tunggal di peringkat pembelaan. – UTUSAN