KOTA BHARU: Kerajaan Pusat telah menerima kertas cadangan dikemukakan kerajaan negeri berhubung pemulihan runtuhan tebing Sungai Kelantan berhampiran Kampung Pohon Celagi di Pasir Mas, bulan lalu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, pemulihan dicadangkan melibatkan kerja-kerja membaik pulih runtuhan tebing dan pengambilan tanah di kawasan terbabit dengan anggaran kos RM60 juta.
Katanya, pemulihan runtuhan tebing tersebut juga dianggarkan mengambil masa selama enam bulan.
“Ia turut merangkumi pembinaan semula Rumah Pam Saliran Air Muleh termasuk komponen mekanikal dan elektrikal dengan anggaran kos RM1.5 juta.
“Turut dicadangkan, bantuan sewa rumah RM500 sebulan selama enam bulan kepada pemilik rumah di kawasan itu yang terlibat dengan pemindahan,” katanya selepas meninjau tapak projek Bangunan Gunasama Persekutuan di Tunjong, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mengulas lanjut, Mohd. Zuki berkata, kerja-kerja pemulihan itu juga mengambil kira kerja-kerja penyiasatan keadaan tanah bagi penyelesaian jangka panjang terhadap pemulihan tebing Sungai Kelantan.
“Hasil penelitian mendapati kejadian disebabkan oleh keadaan tebing sungai yang terjejas akibat aliran deras ke atas jajaran sungai yang melengkung di kawasan kejadian,” katanya.
Pada 17 Februari lalu, 15 keluarga di Jalan Pohon Celagi diarah untuk mengosongkan rumah masing-masing selepas tebing Sungai Kelantan berhampiran kediaman mereka runtuh.
Sekurang-kurangnya empat rumah ranap akibat terhumban ke bawah cerun dalam kejadian tersebut. – UTUSAN ONLINE