Pemuda UMNO senada dengan MT - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO senada dengan MT

ASYRAF Wajdi Dusuki (tiga kanan) bersama Zulkurnain Kamisan (tiga kiri) ketika menyertai Kempen Kesedaran Saya Nak Vaksin Covid-19 di Pekan Parit Sulong, Batu Pahat, Johor. - UTUSAN/MOHAMAD FAHD RAHMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Pemuda UMNO seiring dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) yang menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pada dasarnya di peringkat akar umbi tidak selesa dengan kerjasama yang terjalin sebelum ini kerana parti itu pernah mengkhianati UMNO.

“Kerjasama sebelum ini hanyalah untuk bersama Perikatan Nasional (PN) bagi menubuhkan kerajaan dan bukannya dalam kerjasama politik dengan parti Bersatu.

“UMNO terpaksa berkompromi dengan beberapa parti kerana negara tengah huru-hara. Bagaimanapun, kita dalam UMNO tidak menolak pandangan pelbagai pihak dalam MT.

“Pemuda yang ada pandangannya yang tersendiri, namun ketika membuat keputusan kita sepakat, termasuklah ketika itu (kerjasama dalam PN),” katanya selepas Kempen Kesedaran Saya Nak Vaksin Covid-19 yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong, Mohd. Fared Mohd. Khalid di Pekan Parit Sulong, di sini.

Asyraf Wajdi berkata, tradisi UMNO mudah iaitu sesiapa sahaja boleh memberi pandangan berbeza, namun apabila keputusan dicapai ia adalah secara kolektif dan menyeluruh.

“Apabila adanya satu keputusan, tidak akan ada bantahan dan akan melihat secara menyeluruh, terutamanya baik buruk setiap keputusan yang perlu diambil,” katanya.

Beliau berkata, terdapat usaha-usaha tertentu untuk melemahkan UMNO dengan menyatakan parti tersebut kini berpuak-puak serta mempunyai pelbagai kluster (kem).

“Sebab itulah ramai yang cemburu dengan UMNO kerana kesepakatan dalam membuat keputusan dan apabila seseorang ahli atau individu dalam UMNO mahu melanggar pendirian parti, ia hanyalah pandangan individu dan tidak boleh menjadi pendirian parti,” katanya.

Sementara itu, berkaitan dengan program yang diadakan ia adalah aktiviti pertama Pemuda UMNO berkaitan kempen vaksin Covid-19 dan menjadikannya contoh untuk dilaksanakan di 191 bahagian yang lain yang membabitkan Pemuda parti itu.

“Kita dapati kesedaran untuk mendapatkan vaksin ini masih rendah dan ada sebahagiannya termasuk golongan muda mengambil mudah dengan tidak lagi melakukan pendaftaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya