Pemilik bengkel besi maut, Perodua Kelisa bertembung - Utusan Malaysia

Pemilik bengkel besi maut, Perodua Kelisa bertembung

KEADAAN Perodua Kelisa dipandu Nyak Nuzli Nyak Hashim yang terlibat dalam kemalangan di Kampung Kuala Samak, Jalan Padang Gas-Tembak B, Kuala Ketil, Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seorang pemilik bengkel besi yang maut selepas terlibat kemalangan di Kampung Kuala Samak, Jalan Padang Gas-Tembak B, Kuala Ketil di sini, semalam didapati berubah menjadi pendiam dan kurang ceria sebelum kejadian.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, kereta Perodua Kelisa dipandu mangsa, Nyak Nuzli Nyak Hashim, 32, bersama anaknya, Nyak Najib Hanif, 8, bertembung dengan Toyota Avanza menyebabkan dua beranak itu cedera parah.

Nyak Nuzli kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 1.12 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani dekat sini.

Pemandu Toyota Avanza berusia 32 tahun dilaporkan cedera parah manakala anaknya berusia dua tahun tidak cedera.

Rakan mangsa, Ahmad Hanif Abdul Rahman, 38, berkata, arwah berubah jadi pendiam dan kurang ceria ketika kali terakhir mereka berjumpa di bengkel besi di Kampung Batu Satu, Kuala Ketil di sini.

“Kami sama-sama buka bengkel pada pagi semalam dan arwah tidak banyak bercakap dan kurang ceria. Saya fikir mungkin arwah ada masalah berkaitan kerja.

“Kemudian pada sebelah tengah hari, arwah tiba-tiba kata dia mahu meninggalkan kerja-kerja di bengkel kepada saya dan mahu pergi dahulu,” katanya di sini hari ini.

Katanya lagi, arwah yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Baling biasanya memaklumkan dia ke mana setiap kali mahu keluar dari bengkel tetapi pada semalam dia tidak berbuat demikian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku membabitkan Perodua Kelisa yang datang dari arah Padang Gas menghala Tembak B dengan Toyota Avanza dari arah bertentangan.

“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, Toyota Avanza dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan kereta mangsa sebelum bertembung. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya