Pelantikan Shahidan sebagai Pengerusi PR1MA dipersoal

Pelantikan Shahidan sebagai Pengerusi PR1MA dipersoal

AKMAL Nasrullah Md. Nasir bergambar selepas melawat rumah PR1MA di Jalan Tebrau, Johor Bahru baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Md. Nasir mempersoalkan pelantikan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) memandangkan ramai lagi dalam kalangan profesional yang lebih layak.

Akmal berkata, isu pelantikan tersebut dilihat sudah menjadi amalan biasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menawarkan jawatan kepada ahli-ahli Parlimen.

“Atas kapasiti apa beliau dilantik tatkala begitu ramai profesional yang berbakat, berpengalaman luas dan diyakini mampu mengeluarkan PR1MA daripada belenggu permasalahan yang begitu merunsingkan.

‘Scheme of things’ menjadi amalan kerajaan PN. Pelantikan ini langsung tidak mengejutkan dan bukanlah baru kerana semakan dalam laman sesawang PR1MA mendapati nama beliau telah dikemas kini sebagai pengerusi PR1MA sejak bulan lepas lagi,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan Shahidan dilantik sebagai Pengerusi PR1MA yang baharu berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Zuraida, pengalaman lima penggal sebagai wakil rakyat dan dalam tadbir urus yang ada pada Shahidan amat diperlukan untuk melonjakkan prestasi PR1MA.

Akmal memberitahu, Zuraida dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sejak tiga tahun lalu gagal menyelesaikan isu PR1MA bahkan persoalan lain pula muncul dan memerlukan penjelasan terkait dengan keputusan yang beliau lakukan.

“Sebagai contoh terdapat beberapa kekeliruan jika dilihat kepada jawapan menteri di Parlimen. Pada 17 Oktober 2019, menteri menyatakan bahawa 56 fasa projek pembangunan bernilai RM9.98 bilion di bawah PR1MA telah dibatalkan. 

“Namun pada 7 Disember 2020, menteri yang sama pula menyebutkan jumlah projek PR1MA yang dibatalkan adalah 32 projek. Hingga kini sejumlah RM172 juta wang telah dibelanjakan bagi membayar pampasan berikutan pembatalan projek PR1MA di beberapa kawasan,” katanya.

Akmal berkata, terdapat juga beberapa projek terbengkalai atau lewat yang masih tidak diketahui statusnya seperti di Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan beberapa tempat lagi.

“Di Johor sendiri terdapat kes di Rumah PR1MA (Residensi) Tebrau yang sepatutnya diadakan penyerahan kunci pada 2018 lagi tetapi hingga kini tiada kesudahan walaupun tarikh siap projek telah beberapa kali dipinda.

“Sehubungan itu, saya menggesa Zuraida segera mendedahkan senarai setiap pemaju serta kos pampasan yang perlu dibayar kepada mereka bagi 32 projek yang dibatalkan, senarai projek yang dipinda tarikh siap, senarai projek lewat dan terbengkalai. 

“Saya juga mendesak agar rakyat yang terpaksa menanggung kerugian akibat kelewatan rumah PR1MA perlu diberikan bayaran penuh Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD), bukan hanya pemaju yang dijaga,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya