DUNGUN: Lebih 20 pekebun kelapa sawit di Bandar Al-Mukhtafi Bilah Shah, di sini memohon campur tangan pihak berkuasa bagi menyelesaikan isu pencerobohan gajah liar yang memusnahkan tanaman mereka, sejak empat tahun lalu.
Keadaan yang berlarutan terlalu lama itu menyebabkan rata-ratanya terpaksa menanggung kerugian hampir RM50,000 akibat serangan haiwan liar berkenaan.
Seorang pekebun, Khatijah Yaakub, 58, berkata, dalam kejadian terbaharu Ahad lalu, hampir 300 pokok kelapa sawit berusia setahun miliknya dan rakan rosak mengakibatkan kerugian lebih RM5,000.
Katanya, difahamkan kira-kira lima gajah dewasa dan anak memasuki ladangnya pada waktu petang dan malam.
“Kita baru setahun tanam pokok kelapa sawit, belum habis penat tiba-tiba gajah datang menyerang.
“Saya sudah berhabis hampir RM3,000 untuk membeli anak pokok, tidak termasuk belanja lain seperti baja dan upah pekerja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Seorang lagi pekebun, Khairul Azmi, 41, terkilan apabila usahanya selama setahun menanam kelapa sawit tinggal sia-sia.
“Saya kecewa sebab modal sudah banyak dibelanjakan, malah kadangkala kami terpaksa bergadai nyawa semata-mata berkawal di kebun masing-masing untuk menghalau gajah.
“Sebenarnya memang bahaya berkawal begitu sebab kami tiada senjata tetapi kami tidak ada pilihan lain semata-mata untuk mengelak kerugian lebih besar,” katanya. – UTUSAN ONLINE