BUTTERWORTH: Sepasang kekasih ditahan polis selepas didapati memiliki sejumlah dadah ketika pemeriksaan di sekatan jalan raya di Jalan Kampung Selamat, Tasek Gelugor, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pasangan berusia 25 tahun dan 28 tahun berkenaan ditahan semasa menunggang motosikal kira-kira pukul 2 pagi.
Katanya, pasangan yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan bagi pemeriksaan lanjut.
“Polis kemudian menemukan sebanyak 12 biji pil Eramin 5 dan tujuh paket dadah disyaki syabu seberat 14.91 gram di dalam beg silang yang dibawa mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, siasatan lanjut mendapati suspek lelaki tersebut positif syabu hasil ujian saringan air kencing manakala wanita berstatus janda negatif ujian berkenaan.
Jelasnya, suspek lelaki mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk dua berkaitan dadah manakala wanita berkenaan mempunyai dua rekod berkaitan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Suspek juga mengaku dadah itu adalah milik mereka,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39(A)(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE