SEREMBAN: Pas Negeri Sembilan tiada masalah bertanding kurang jumlah kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berbanding bilangan yang ditandingi mereka pada pilihan raya umum lepas.
Pesuruhjayanya, Rafiei Mustapha berkata, Pas menyedari sejauh mana kekuatan mereka di negeri ini, oleh itu fokus kini diberikan parti itu untuk memenangi PRU-15 menerusi kerjasama parti di dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).
“Apabila kami berada dalam satu blok yang lebih besar maka sudah tentulah kita perlu realistik dan bersedia mengambil kira kepentingan semua pihak. Bagaimanapun, kami cuba meletakkan diri pada tahap bersesuaian dengan kekuatan dan kemampuan parti.
“Memanglah apabila perundingan dijalankan (bersama PN dan MN), sudah tentu lebih berkurangan bilangan kerusi itu berbanding semasa PRU-14 yang mana kami bertanding semua. Kita berbincang sebaik mungkin tetapi yang lebih penting jangan berlaku pertembungan tiga penjuru,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, ditanya jumlah kerusi yang mungkin ditandingi Pas di negeri ini, Rafiei belum bersedia untuk menyatakannya namun mengakui perkara itu telah dibincangkan di dalam jawatan kuasa perundingan kerusi.
“Sekarang ini kita ingin putuskan (pengagihan kerusi) di peringkat negeri bersama MN dan PN, saya memang tidak dapat nak sebut dahulu (jumlah kerusi) tetapi apa pun kami akan melihat dan mengambil kira kekuatan kami di (kerusi) mana,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN negeri memberitahu, jawatan kuasa lengkap PN di Negeri Sembilan akan dimaklumkan pada masa terdekat dalam satu majlis.
“Jawatan kuasa PN di Negeri Sembilan telah lengkap dan ia akan diumumkan tidak lama lagi oleh Pengerui PN negeri, Datuk Eddin Syazlee Shith. Dalam senarai jawatan kuasa itu, ia diisi wakil dari Bersatu dan Pas serta ahli gabungan baharu iaitu Gerakan,” katanya.
Tambahnya, walaupun Pas bersama dalam gabungan PN namun ia tidak akan menyebabkan parti itu mahu meninggalkan ikatan yang terjalin bersama UMNO dalam MN.
“Kita dah anggap MN adalah satu ikatan di antara Pas dan UMNO malah sudah ada piagam mengenainya. Semua pun tahu prinsip Pas adalah untuk memperkukuh MN ini termasuk di Negeri Sembilan, itu masih jadi keutamaan. Apa pun keadaan ketika ini, hubungan dalam MN masih lagi baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE