PUCHONG: Kemunculan satu platform baharu yang bakal merubah peranti pengguna menjadi satu mesin jana pendapatan terutama kepada mereka yang berada di dalam industri penstriman.
Aplikasi ini bukan sahaja bakal memberikan akses pendidikan, menurunkan kadar pengangguran di seluruh dunia, mewujudkan peluang pekerjaan malah menghubungkan seluruh dunia tidak kiralah di bandar mahupun luar bandar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Komunikasi Korporat Pandosoft, Kidd Santhe menegaskan bahawa Pandosoft merupakan satu platform digital baharu yang bakal mengubah sesuatu perisian kepada mesin jana pendapatan.
“Platform ini bukan sahaja bakal membuka peluang baharu malah ia bakal mengubah komputer mereka menjadi mesin jana pendapatan.
“Selain itu, Pandosoft juga telah mencipta perisian ‘Rametron’ yang boleh dimuat turun di semua jenis peranti di mana ia menggunakan lebihan jalur lebar anda untuk tujuan penstriman yang lebih lancar,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Pandosoft adalah satu projek komuniti untuk komuniti dengan empat aplikasi yang bakal dilancarkan tidak lama lagi iaitu Pandojo, Pandogo, Show.Us dan TutorX.
Tambah Kidd, sebagai seorang ‘content creator’, platform ini sangat sesuai bagi mereka yang ingin memulakan kerjaya dalam industri penstriman.
“Ini kerana Pandosoft tidak terlibat dengan mana-mana kontrak ataupun perjanjian seperti mana platform lain serta platform ini menggunakan sistem ‘Blockchain’ yang bersifat ‘desentralisasi’ yang bermaksud tiada sebarang pengawalan daripada mana-mana pihak,” katanya.
Tegasnya, melalui platform digital yang bakal dilancarkan ini akan melahirkan lebih banyak bakat-bakat baharu.
“Inilah peluang untuk anda, dengan muzik saya mewakili Malaysia tetapi dengan Pandosoft, kami mewakili dunia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemasaran Pandosoft, Hasmi Hashim turut menegaskan bahawa platform ini bakal menjadi kebanggaan Malaysia yang dibina oleh anak tempatan dalam memperkasakan setiap komuniti di seluruh dunia.
“Melalui teknologi ini kami bawakan satu perubahan yang besar dengan mengubah keseluruhan paradigma teknologi penstriman video,” katanya.
Malah, dengan menggunakan perisian ‘Rametron’, para pengguna dapat menjana pendapatan dengan menggunakan lebihan ‘bandwith’.
“Lebih banyak seorang individu menggunakan ‘bandwith’, lebih banyak pendapatan yang boleh mereka peroleh,” katanya.
Tambahnya, Pandosoft kini sudahpun berkembang ke negara Brunei, Indonesia, Thailand, Vietnam, Nigeria, Korea, Filipina dan misi ini akan diteruskan lagi ke negara Asia Tenggara, Asia Pasifik seterusnya ke peringkat antarabangsa.
“Apa yang pasti dengan teknologi Pandosoft ini bakal membawa satu platform pasaran yang terhad kepada pasaran global,” katanya. – UTUSAN ONLINE