Orang Asli bantah projek hidroelektrik Nenggiri - Utusan Malaysia

Orang Asli bantah projek hidroelektrik Nenggiri

Sebahagian masyarakat Orang Asli membantah rancangan pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang oleh kerajaan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 3,000 masyarakat Orang Asli membantah rancangan pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri oleh kerajaan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dijangka bermula Mac tahun depan.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Mustafa Along berkata, projek itu bakal memusnahkan tapak warisan sejarah seperti Gua Cha, selain menjejaskan sumber air, hasil tanaman dan perkuburan nenek moyang Orang Asli.

“Pembinaan empangan kononnya untuk menyelesaikan masalah banjir, kemarau serta membekalkan elektrik sebanyak 320 MegaWatt akan menenggelamkan 5,384 hektar kawasan hutan yang menjadi tanah adat dan wilayah Orang Asli di jajahan ini.

“Empat buah penempatan Orang Asli akan terjejas secara langsung, manakala 18 kampung atau pos akan turut terjejas kerana kawasan hutan rayau, tanah adat dan wilayah bakal tenggelam,” katanya.

Mustafa  berkata demikian selepas mengadakan perhimpunan bersama sekumpulan 30 penduduk Orang Asli bagi membantah projek pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri di Kampung Jias A di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya merancang  menghantar memorandum bantahan kepada pihak berkaitan awal bulan depan.

Sementara itu, penduduk Pos Tohoi, Ahok Duga, 69, berkata, kejadian banjir selama ini berpunca daripada kerajaan sebab  menebang  sampai gondol. 

“Itu sebabnya banjir terus melanda. Kalau kita tengok tahun 60-an dulu tak pernah berlaku kejadian banjir begini. Kerana jari manusia memusnahkan hutan, tengoklah sungai keruh jadinya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN