MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee tidak menolak akan memakai serban sekiranya menyertai Pas, berikutan telah dilamar o parti itu.
Norhizam yang sebelum ini viral dengan gelaran ‘YB gengster’ berkata, selain Pas, beliau turut menerima pelawaan daripada UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang keputusan yang dibuat untuk menyertai mana-mana parti kerana selesa bergelar wakil rakyat Bebas.
“Jangan terperanjat kalau saya berserban, saya nak jadi baik dan lebih baik. Secara jujur saya dilamar Pas, UMNO dan Bersatu, Saya akan istiqamah solat malam dan pastikan parti mana akan saya sertai nanti.
“Saya tidak takut. Kalau tidak pun, Bebas saya dah ada logo sendiri iaitu ‘Yb viral’ dan bendera pun ada. Yang penting kita turun padang untuk rakyat,” katanya ketika ditemui selepas Program Pelepasan Benih Ikan di Empangan Sungai Batu Hampar di sini hari ini.
Pada Mac tahun lalu, DAP memecat Norhizam selepas beliau membuat keputusan menyokong gabungan politik baharu di Melaka.
Norhizam bagaimanapun berkata, beliau sebelum ini hanyalah ‘barua’, lantas bertindak menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) demi orang Melayu.
Dalam pada itu, mengulas berkenaan penyambungan jeti Tanjung Bruas, beliau memaklumkan, projek itu tidak pernah dibincangkan dengan kerajaan negeri sehingga siap dibina.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata, keadaan itu menimbulkan rasa kurang senang apatah lagi isu terbabit menjejaskan pendapatan nelayan setempat.
“Sudah pasti saya terkilan kerana sepatutnya mereka perlu berbincang dengan kami terlebih dahulu bukannya dibuat tanpa pengetahuan dan perbincangan bersama.
“Secara teknikal ia juga perlu kelulusan daripada pihak kami tapi sehingga kini kami tidak dipanggil serta diberikan maklumat mengenai projek. Pada saya itu memang tindakan yang tak betul,” ujarnya.
Terdahulu, kira-kira 300 nelayan di sekitar perairan Tanjung Kling dan Klebang menyuarakan keresahan terhadap projek penambakan laut serta pembinaan jeti pelabuhan sepanjang 600 meter di Tanjung Bruas. – UTUSAN